Kes SRC Najib: Clare sifatkan perbicaraan sebagai "menarik"
Firdaus Azil
April 3, 2019 18:35 MYT
April 3, 2019 18:35 MYT
Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown yang hadir di Kompleks Mahkamah Tinggi Jalan Duta, di sini pada Rabu, menyifatkan, perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai “menarik”.
Beliau berkata demikian sebelum meninggalkan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini kira-kira pukul 4.15 petang.
“Gembira apabila melihat perbicaraan itu akhirnya diteruskan dan saya tahu ada ramai orang yang sangat gelisah akan terjejas dengan perkembangan ini, yang tertanya jika perbicaraan ini akan diteruskan.
"Sekarang kita melihat ia diteruskan. Kita sedia melihat keadilan dilakukan dengan perbicaraan yang wajar," katanya kepada pemberita.
Tambah Clare, beliau akan terus mengikuti perbicaraan ini dari jauh dan akan hadir ke mahkamah untuk pendengaran.
Terdahulu, Clare tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta sekitar 2.10 petang bagi mengikuti kes perbicaraan Najib.
Beberapa media melaporkan, wanita Britain itu memaklumkan kehadiran beliau sebagai media dan mahu merasai bagaimana perbicaraan ini dijalankan serta melakukan tanggungjawabnya sebagai wartawan yang membuat laporan tentang kes ini.
“Saya datang kerana mahukan pengalaman berada dalam mahkamah serta mengikuti perbicaraan serta lakukan tanggungjawab saya sebagai media. Itu sahaja,” demikian menurut Clare dipetik sebagai berkata.
Dalam perkembangan lain, sebaik sahaja Clare meninggalkan kawasan mahkamah, satu kumpulan penyokong Najib kedengaran melaungkan takbir “Allahuakbar” dan “Tolak Media Asing”.
Bagaimanapun, kumpulan tersebut kemudiannya diminta oleh pihak berkuasa untuk berhenti daripada membuat bising.
Sebelum itu, Najib hadir sekitar jam 1.52 petang bersama penyokong beliau di mahkamah.
Najib, 65, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap tujuh pertuduhan merangkumi kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.
BACA: Kes SRC Najib: Pekarangan mahkamah 'bergema' dengan jeritan 'Bossku', 'I Love You'
BACA: Kes SRC: Selepas tiga jam, Najib tinggalkan Mahkamah Tinggi
#bekas perdana menteri
#Clare Rewcastle Brown
#editor
#Mahkamah Tinggi
#Najib Razak
#RM42 juta
#Sarawak Report
#SRC International