Kes SRC Najib: Ahli Parlimen bimbang wujud kluster baharu

Bernama
Julai 28, 2020 14:39 MYT
Keadaan sesak itu menyebabkan polis terpaksa menggunakan pembesar suara untuk mengingatkan orang ramai yang hadir sejak awal pagi untuk mengikuti keputusan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Kehadiran ramai penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini mendapat perhatian Ahli Parlimen yang bimbang keadaan itu membawa risiko penularan COVID-19 dan mewujudkan kluster baharu.
Gambar-gambar yang memaparkan orang ramai berhimpun tanpa mematuhi penjarakan sosial dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka dengan betul di luar kompleks mahkamah itu tersebar di media sosial dan media dalam talian arus perdana.
Keadaan sesak itu menyebabkan polis terpaksa menggunakan pembesar suara untuk mengingatkan orang ramai yang hadir sejak awal pagi untuk mengikuti keputusan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang melibatkan Najib, supaya mematuhi SOP dan memakai pelitup muka bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.
Bimbang dengan keadaan itu, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat, berkata kes COVID-19 masih wujud dan kemungkinan wujudnya kluster baharu tetap ada.
".... terutamanya apabila hari ini kita dengar ada satu himpunan di mahkamah, kita bimbang berlaku kluster baharu akibat daripada satu perhimpunan yang tidak dikekang dan dikawal.
"Langkah pencegahan wajib diamalkan malahan lebih berdisiplin secara bersama bagi memastikan penularan ini benar-benar tamat. Kita tidak kalah, tetapi kita belum menang," katanya.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun sebelum sesi perbahasan bermula mengingatkan semua Ahli Parlimen untuk sentiasa mematuhi SOP di dalam dan di luar Parlimen.
LAPOR LANGSUNG: NAJIB. BERSALAH ATAS TUJUH PERTUDUHAN
"Saya menasihatkan agar Ahli-ahli Yang Berhormat (YB) sentiasa patuh SOP fasa pemulihan Parlimen Malaysia. YB juga boleh menasihatkan pegawai dan pelawat YB (untuk patuh SOP) semasa di luar.
FOTO: DI SEBALIK KEPUTUSAN PERBICARAAN KES SRC INTERNATIONAL
"Marilah kita bersama patuhi SOP untuk mengekang COVID-19," katanya sejurus tamat sesi soal jawab lisan.
Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) dalam perbahasannya turut menasihati seluruh rakyat agar terus mematuhi SOP dan merakamkan penghargaan kepada barisan hadapan yang sentiasa berusaha membendung penularan COVID-19.
"Rakyat diminta untuk patuh segala arahan yang ditetapkan kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
#Azhar Azizan Harun #COVID-19 #kerajaan #kompleks mahkamah kuala lumpur #mahkamah #Najib Razak #orang ramai berhimpun #pelitup muka #penjarakan sosial #perhimpunan #SRC International
;