Kes SRC International: Prosiding di Mahkamah Persekutuan tidak akan lama - Pendakwaan
Umavathi Ramayah
Disember 8, 2021 16:41 MYT
Disember 8, 2021 16:41 MYT
PUTRAJAYA: Proses rayuan terakhir Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri itu, dijangka tidak mengambil masa yang lama.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaran menjelaskan, ini kerana hampir kesemua dokumen yang diperlukan untuk prosiding di Mahkamah Persekutuan sudahpun lengkap.
"Kita sudah ada 112 naskah dokumen secara keseluruhan, dan Mahkamah Persekutuan kini hanya perlu menambah satu lagi dokumen melibatkan hujah dan keputusan nanti.
"Jadi rekod sudah ada, dan saya rasa dalam tempoh tiga bulan lagi, pengurusan kes akan disebut di Mahkamah Persekutuan. Dalam tempoh enam hingga sembilan bulan kes akan selesai," katanya pada sidang media di Istana Kehakiman di sini, pada Rabu.
[TERKINI] SRC International | Sidang media pasukan pendakwa raya
Ditanya mengenai dakwaan Najib bahawa pendakwaan kes ini berunsurkan politik, Sithambaran menegaskan, pendakwaan itu dikemukakan berdasarkan fakta dan kertas siasatan.
"Sebagai pasukan pendakwaan, kita mempunyai kertas siasatan dan keterangan saksi. Tiada sebarang unsur politik, ini adalah berdasarkan fakta.
"Perbicaraan kes ini melibatkan empat hakim, tiga hakim di Mahkamah Rayuan dan seorang (hakim) di Mahkamah Tinggi. Apa yang dibacakan hari ini adalah cuma ringkasan daripada lebih 316 muka surat penghakiman," ujarnya.
Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadapnya yang disabit dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan untuk menolak rayuan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pekan itu ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas.