Kes SRC International: Penangguhan hukuman Najib satu 'rekod dunia' - Tun M

Hilmi Malik
Disember 8, 2021 16:59 MYT
Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, menyifatkan keputusan penangguhan hukuman berkenaan adalah satu 'rekod dunia'. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan jelas membuktikan Datuk Seri Najib Razak bersalah atas dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, beliau tidak berpuas hati apabila mahkamah membenarkan hukuman terhadap Najib ditangguhkan sementara menantikan keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Malah, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, menyifatkan keputusan penangguhan hukuman berkenaan adalah satu 'rekod dunia'.
‘’Oleh kerana ianya tidak bercanggah dengan undang-undang, Najib tidak akan menjalani hukuman kerana Najib membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.
“Ini hak Hakim. Ia adalah satu rekod dunia, mengikut Department of Justice (DOJ), Amerika Syarikat, orang yang didapati bersalah kecil pun tidak pernah mendapat penangguhan hukuman seperti ini,” katanya menerusi hantaran di blognya pada Rabu.
SRC International | Najib berjaya tangguhkan sabitan, hukuman
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Kes SRC International: Mahkamah Rayuan kekal sabitan, hukuman Najib
Ujarnya lagi, keadaan itu akan membuatkan proses pendakwaan berlarutan selama beberapa tahun bahkan berkemungkinan besar Najib akan turut bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Di masa itu ia (Najib) bebas seperti orang yang tidak bersalah. Kalau semasa menanti ia (Najib) dibenar terus jadi ahli Dewan Rakyat, apakah ia (Najib) juga dapat bertanding dalam PRU 15.
“Jika ia (Najib) menang dan sekali lagi jadi ahli Dewan Rakyat, apakah ia (Najib) boleh jadi Perdana Menteri juga,” soalnya.
Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadapnya yang disabit dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan untuk menolak rayuan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pekan itu ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas.
#SRC International #Najib Razak #Mahathir Mohamad #rekod dunia
;