Kes SRC International: Kenapa Najib perlu 'bayar' harga tinggi semata-mata salah peguam? - Hakim
Astro Awani
Mac 31, 2023 17:05 MYT
Mac 31, 2023 17:05 MYT
PUTRAJAYA: Satu-satunya hakim yang bersetuju supaya permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd oleh Datuk Seri Najib Razak, dibenarkan, berpendapat adalah tidak adil bagi bekas Perdana Menteri itu untuk membayar 'harga' yang tinggi dengan meringkuk dalam penjara semata-mata kesilapan peguamnya.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini berkata, peguam Najib, Datuk Hisyam Teh Poh Teik telah dinafikan peluang untuk berhujah selepas memaklumkan kepada panel hakim bahawa beliau tidak bersedia kerana mengambil kes itu pada saat akhir.
"Selepas dimaklumkan kepada panel hakim bahawa beliau (Hisyam Teh) tidak bersedia, menyebabkan hanya satu pihak (pendakwaan) sahaja yang berhujah.
"Ini bermaksud hujah pemohon (Najib) langsung tidak didengari. Ini menjadikan pemohon berada dalam situasi yang sangat tidak adil.
"Beliau dalam keadaan kekurangan kerana tidak diwakili semasa rayuan. Adalah tidak adil bagi pemohon menanggung akibat atas kesilapan yang dilakukan oleh peguamnya.
"Apa yang pemohon mahu ialah melihat peguamnya bertindak untuknya demi kepentingannya, tidak lebih dan tidak kurang,” kata hakim itu ketika membacakan keputusan di Mahkamah Persekutuan di sini, pada Jumaat.
Prosiding hari ini didengar lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.
Keputusan dibuat dengan majoriti 4-1 iaitu Vernon Ong, Rhodzariah, Nordin dan Abu Bakar menyokong untuk menolak rayuan Najib kerana tidak bermerit.
Pada 17 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan peguam Najib, Hisyam Teh untuk menarik diri daripada mengendalikan rayuan akhir kes kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan, ketika membacakan keputusan panel hakim berkata, mahkamah ada kuasa budi bicara untuk menolak permohonan peguam menarik diri daripada mewakili anak guamnya dalam keadaan di mana tindakan penarikan diri itu boleh mengganggu kecekapan dan fungsi mahkamah.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah di atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.
Mohd Nazlan sehubungan itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021 dan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan pada Ogos lalu.