Kes SRC International: 'Doakan Daddy diberi kekuatan dan keadilan' - Nooryana

Hakim Rahman
Disember 8, 2021 09:54 MYT
Dalam perkongsian hantaran media sosial, Nooryana berkata beliau percaya dan yakin dengan kebenaran di dunia dan akhirat. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Anak perempuan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa meminta agar orang ramai mendoakan agar ayahnya itu diberi kekuatan dan keadilan.
Dalam perkongsian hantaran media sosial, Nooryana berkata beliau percaya dan yakin dengan kebenaran di dunia dan akhirat.
"Berdepan dengan berbagai ujian tetapi kekal tenang, percaya dan yakin dengan kebenaran. Kebenaran di dunia dan di akhirat.
"Doakan agar Daddy diberikan kekuatan menghadapi semua ujian dan cabaran ini, dan semoga keputusan (hari ini) memberikan keadilan kepadanya," katanya dalam hantaran di Instagram petang semalam
Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Rabu dijangka menyampaikan keputusan sama ada rayuan Najib untuk membatalkan sabitan dan hukuman berhubung kes SRC International bernilai RM42 juta dibenarkan atau tidak.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Kes SRC International: Nasib Najib diketahui hari ini
Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah mensabitkan Najib atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berhubung kes itu.
Prosiding Mahkamah Rayuan pagi ini akan diadakan secara hybrid berikutan Najib dan beberapa anggota pasukan peguamnya mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif COVID-19 dan perlu dikuarantin.
#SRC International #Najib Razak #Nooryana Najwa #Mahkamah Rayuan
;