Kes SRC: Hak Najib dinafikan, peguam sekadar 'hiasan' - Shafee

Umavathi Ramayah
Februari 20, 2023 13:09 MYT
Ini adalah percubaan terakhir Najib melalui prosiding mahkamah untuk mengetepikan keputusan sabitan yang diputuskan terhadapnya pada Ogos tahun lalu. - Fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Pasukan pembelaan yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak berhujah kepada Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa keputusan mahkamah itu sebelum ini yang tidak membenarkan permohonan penangguhan untuk membatalkan sabitan bersalah terhadapnya dalam kes rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC), sebagai menafikan hak bekas Perdana Menteri itu.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu, anak guamnya bukan sahaja tidak dibenarkan untuk menangguhkan prosiding sebaliknya peguam utamanya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik juga dipaksa untuk kekal berada dalam prosiding biar pun telah memohon untuk menarik diri.
“Peguam terdahulu (Hisyam Teh) tidak dibenarkan menarik diri dan 'dipaksa' untuk terus kekal berasa di mahkamah.
"Ini bukan bermaksud saya tidak menghormati Hisham, tetapi ketika rayuan akhir itu, beliau menjadi peguam yang tidak efektif, beliau tidak ubah seperti hiasan, sekadar ilusi dan tidak mengikut peruntukan undang-undang," hujahnya di Mahkamah Persekutuan di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Muhammad Shafee berkata, ia adalah satu kesalahan yang sangat besar dan bertentangan dengan asas perbicaraan yang adil.
"Ada beberapa tindakan yang boleh diambil mahkamah (Persekutuan) jika tiada peguam atau peguam tidak bersedia kerana sudah tentu anak guam tidak boleh berhujah sendiri.
"Antaranya ialah Mahkamah Persekutuan boleh membatalkan rayuan dengan kebebasan untuk memfailkan semula (rayuan berkenaan).
"Kenapa perlu hukum anak guam saya?" katanya.
Pendengaran semakan di hadapan lima panel hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli; tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais bersambung esok.
Setelah gagal di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, bekas perdana menteri itu memohon panel mahkamah tertinggi baharu untuk mendengar semakan dikemukakannya terhadap sabitan dan hukuman sebelum ini.
Ini adalah percubaan terakhir Najib, 70, melalui prosiding mahkamah untuk mengetepikan keputusan sabitan yang diputuskan terhadapnya pada Ogos tahun lalu.
Pada rayuan akhir terbabit tahun lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri selepas mendapati peguam itu gagal memberikan alasan mencukupi.
Tengku Maimun dalam keputusannya, berkata mahkamah ada kuasa budi bicara untuk menolak permohonan peguam untuk menarik diri daripada mewakili anak guamnya dalam keadaan dimana tindakan penarikan diri itu boleh mengganggu kecekapan dan fungsi mahkamah.
Hisyam sebelum itu memohon menarik diri daripada mewakili Najib jika penangguhan prosiding tidak dibenarkan dan merayu supaya diberikan masa yang wajar untuk mengkaji dan melakukan persiapan sebelum mengemukakan hujahan rayuan.
#Kes SRC #Najib Razak #Muhammad Shafee Abdullah #kes rasuah
;