Kes SRC: Buktikan yang Najib sedar wang itu dari sumber haram - Peguam Shafee Abdullah
Hasimi Muhamad
April 15, 2019 17:45 MYT
April 15, 2019 17:45 MYT
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata pasukan pendakwaan mesti membuktikan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyedari dana yang masuk ke dalam akaun Ambank miliknya berjumlah RM42 juta adalah berkaitan SRC International Sdn Bhd.
Beliau yang mengetuai pasukan pembelaan berkata, terdapat banyak transaksi yang masuk ke akaun bank, namun itu tidak dapat disahkan sama ada wang yang masuk ke akaun Ahli Parlimen Pekan itu adalah berasal daripada sumber haram.
“Duit yang masuk ke dalam akaunnya (Najib), adakah beliau tahu itu daripada sumber haram?
“Jika wang masuk ke akaun saya, adakah saya mempunyai pengetahuan penuh ia (wang) datang daripada sumber yang salah? Ramai pihak yang terlibat,” katanya kepada pemberita di perkarangan Kompleks Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Ditanya lagi sama ada Najib perlu membuktikan bahawa beliau sedar atau sebaliknya mengenai sumber wang tersebut, Muhammad Shafee berkata ia adalah tanggungjawab pihak pendakwaan untuk berbuat demikian.
“Ini bukan beliau yang perlu tunjukkan, (sebaliknya) pihak pendakwaan perlu menunjukkan bahawa beliau (Najib) bersubahat dan ia sebahagian konspirasi. Ini tugas pendakwaan dan bukan kami (pasukan pembelaan).
“Itulah sebabnya saya katakan lebih daripada apa yang ditunjukkan, apa yang tidak ditunjukkan adalah lebih penting kerana terdapat lebih banyak dokumen yang tidak didedahkan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pihak pendakwaan hari ini turut memanggil saksi kedua, seorang Pengurus Bank Negara Malaysia (BNM), Azizul Adzani Abdul Ghafar.
Terdahulu. Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan sehingga pukul 9 pagi, esok.
Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram memaklumkan kepada mahkamah bahawa proses membuat salinan dokumen yang diperlukan pasukan pembelaan Najib mengambil masa lebih lama dari jangkaan.
"Proses salinan (fotostat) mengambil masa lebih lama dari dijangka, dan malah mungkin sehingga pukul 5 petang," katanya.
Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan, Najib boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Pada prosiding bicara 3 April lalu, pihak pendakwaan memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan.
Pada prosiding itu juga, kesemua tujuh pertuduhan ke atas Najib dibacakan semula dan beliau kekal mengaku tidak bersalah terhadap setiap pertuduhan dikenakan.
Perbicaraan bermula hari ini sehingga 10 Mei.
#1MDB
#ambank
#Bank Negara Malaysia
#bossku
#Mahkamah Tinggi
#Muhammad Shafee Abdullah
#Najib Razak
#SRC International