Kes sporadik meningkat, Kelantan mohon tambahan vaksin
Bernama
Julai 29, 2021 15:32 MYT
Julai 29, 2021 15:32 MYT
KOTA BHARU: Kes positif COVID-19 yang kembali meningkat di Kelantan rata-ratanya melibatkan jangkitan dalam komuniti atau sporadik, sekali gus meletakkan negeri itu dalam keadaan bahaya, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin.
Beliau berkata dalam mengambil kira keadaan itu, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dijangka membuat permohonan rasmi kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menambah bekalan dos vaksin ke negeri itu.
"Kes-kes COVID-19 di Kelantan meningkat, malah ada juga kes melibatkan varian Delta. Secara faktanya ini adalah kes sporadik yang berada dalam komuniti, melihat kepada bilangan kes dan nilai R-naught (Rt) kita bimbang dengan keadaan semasa.
"Kelantan sudah memperoleh 500,000 dos vaksin bulan ini seperti yang dijanjikan MOSTI, bagi membendung jangkitan dan tingkatkan vaksinasi, kita mohon supaya tambahan vaksin hingga satu juta dos mulai Ogos supaya kita dapat laksanakan 30,000 suntikan sehari," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan di sini hari ini yang dipengerusikan Ahmad Yakob.
Dr Izani berkata keperluan tambahan vaksin untuk mempercepatkan program vaksinasi itu juga perlu disegerakan berikutan laporan yang menyebut bahawa tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) rakyat negeri itu semakin menurun.
"Mengikut laporan polis serta jabatan-jabatan lain, kita lihat bahawa pematuhan SOP semakin longgar. Oleh yang demikian kita bimbang serta takut kerana ia boleh mengakibatkan berlaku kes sporadik yang tinggi sebagaimana di Selangor.
"Justeru kita memohon kepada MOSTI supaya tingkatkan bekalan vaksin ke Kelantan untuk selamatkan keadaan," katanya.
Semalam Kelantan mencatatkan 532 kes positif baharu, dengan 3,517 kes dalam rawatan.
-- BERNAMA