Kes simbah asid: Suspek menangis teresak-esak di mahkamah
Sinar Harian
Julai 14, 2023 12:23 MYT
Julai 14, 2023 12:23 MYT
SELAYANG: Seorang wanita warga emas menangis teresak-esak ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, berhubung kes menyimbah asid kepada sepasang suami isteri, minggu lalu.
Wanita itu yang tiba pada jam 9 pagi, dengan memakai jubah biru, diiringi anggota polis dibawa ke mahkamah.
Pada Khamis, Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Arifin Mohamad Nasir berkata, suspek berusia lingkungan 60-an akan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.
Minggu lalu, Sinar Harian melaporkan, sepasang suami isteri yang juga pengusaha kedai roti naan menempuh detik cemas apabila disimbah asid semasa memasuki lif di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, Gombak.
Kejadian tersebut berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bangunan pangsapuri terbabit.
Ia kemudiannya tular di media sosial, memaparkan seorang individu berdiri berhampiran mangsa, semasa menunggu lif sebelum bertindak menyimbah cecair dipercayai asid.
Mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 60 tahun dan suaminya warganegara Pakistan telah menerima rawatan di Hospital Selayang.
Enam hari selepas kejadian, seorang wanita warga emas ditahan bagi membantu siasatan kes itu. - Sinar Harian