Kes set golf: KP JPJ dan anggota sedia beri kerjasama kepada SPRM

Bernama
Jun 18, 2017 00:52 MYT
Nadzri (tengah) melekat pelekat 'Laporkan Aduan Kesalahan Lalulintas JPJ' di cermin tingkap bas ekspres pada majlis Pelancaran Ops Hari Raya Aidilfitri 2017 JPJ Peringkat Kebangsaan di Stesen Penguatkuasa JPJ Banting, pada Sabtu. -- fotoBERNAMA
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron sedia memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan set golf.
Katanya, beliau dan beberapa anggotanya telah dua kali hadir ke pejabat SPRM Selangor pada Khamis dan semalam, untuk memberi keterangan berhubung siasatan berkenaan.
"Saya telah dan bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan ini, begitu juga dengan anggota JPJ yang lain sekiranya mereka perlu memberi keterangan kepada SPRM," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Operasi Penguatkuasaan Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2017 di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, SPRM dilaporkan mengesahkan telah memanggil Nadzri bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima set golf bernilai RM45,000 sebagai hadiah.
Turut dilaporkan, Ketua Persuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk memanggil semula Nadzri bagi membantu siasatan kes tersebut.
Dzulkifli juga berkata pihaknya turut akan memanggil beberapa individu lain bagi membantu siasatan.
Sementara itu ditanya sama ada beliau ada menyerahkan apa-apa dokumen kepada SPRM, Nadzri berkata sehingga kini tiada permintaan daripada SPRM untuk beliau mahupun JPJ untuk berbuat demikian.
Mengenai operasi sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan bermula tengah malam ini sehingga 2 Julai depan, Nadzri berkata pihaknya menyasarkan penurunan kadar kemalangan dan kematian sebanyak 50 peratus pada musim perayaan kali ini.
"JPJ turut akan membuka 38 stesen penguatkuasaan sementara di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan. JPJ juga akan melakukan rondaan di 231 lokasi yang kerap berlaku kemalangan," katanya, sambil menambah operasi kali ini akan melibatkan 3,128 anggota dan 815 buah kenderaan.
-- BERNAMA
#Dzulkifli Ahmad #JPJ #Nadzri Siron #Rasuah #set golf #siasatan #SPRM