Kes serangan anjing liar ke atas ternakan di Terengganu serius - Exco
Sinar Harian
Mei 11, 2023 16:41 MYT
Mei 11, 2023 16:41 MYT
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan bersepadu dalam masa terdekat susulan peningkatan kes melibatkan kematian haiwan ternakan akibat serangan anjing liar di negeri ini.
Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, situasi itu dilihat serius berdasarkan aduan langsung yang diterima daripada rakyat.
"Beberapa aduan melibatkan kematian haiwan ternakan akibat serangan anjing liar menunjukkan bahawa isu serangan anjing liar agak serius.
"Jadi, kita bersama pihak bertanggungjawab akan mengambil tindakan segera yang bersesuaian untuk operasi memindahkan anjing-anjing liar ini," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.
Azman berkata, operasi itu akan melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau memberitahu, perkara itu akan diteliti memandangkan anjing tidak termasuk di bawah kategori hidupan liar dan lebih kepada bidang kuasa PBT.
"Anjing liar ni mungkin asalnya ada tuan untuk tujuan tertentu seperti jaga kebun dan sebagainya, dan ia akan berkeliaran di merata-rata setelah ditinggalkan begitu sahaja.
"Apabila meneliti respons di media sosial mengenai kes ini, boleh dikatakan masalah ini dialami di seluruh negeri, tengok pada jumlah ancaman kepada keselamatan ternakan, indikatornya agak serius.
"Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi sahaja setakat ini sudah berbelas ekor kambing yang mati dan menjadi mangsa anjing liar," katanya.
Jelas Azman, anjing-anjing liar itu bertindak menyerang haiwan ternakan sama ada yang berada di dalam kandang atau yang berada di merata-rata tempat.
"Aduan langsung yang diterima daripada rakyat memberitahu terdapat juga kes yang mengorbankan belasan atau puluhan ekor haiwan ternakan yang mati sama ada berada dalam kandang atau di luar kandang," katanya. - Sinar Harian