Kes seorang lagi anggota PGA ditembak: Suspek guna senapang angin, polis siasat cubaan bunuh

Adie Sufian Zulkefli
November 25, 2020 23:35 MYT
Anggota PGA yang ditembak hanya mengalami kecederaan ringan berikutan memakai jaket kalis peluru. -Gambar/ Ihsan pembaca
BUKIT KAYU HITAM: Polis percaya tembakan yang dilepaskan terhadap seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, petang tadi, menggunakan senapang angin.
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
"Siasatan awal mendapati senjata yang digunakan adalah jenis senapang angin.
"Anggota terbabit sudah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Kayu Hitam sekitar jam 8 malam," katanya di sini, malam ini.
BACA: Seorang lagi anggota PGA cedera ditembak di sempadan Malaysia-Thailand
BACA:Kes tembak anggota PGA: 6 suspek ditahan, 3 rakyat Malaysia diburu
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada kes ini mempunyai kaitan dengan kes tembakan di Padang Besar, Perlis awal pagi semalam, atau sebaliknya.
Ini adalah kejadian kedua membabitkan anggota PGA di sempadan Malaysia-Thailand diserang menggunakan senjata api.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 pagi semalam, Koperal Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya Koperal Norihan Tari, 39, mengalami kecederaan parah ketika berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di kawasan sempadan berhampiran Padang Besar.
#PGA #sempadan #malaysia-thailand #seorang lagi #senapang angin #cubaan membunuh #Ketua Polis Kedah #Hasanuddin Hassan
;