Kes seksual kanak-kanak, bekas SU persatuan kekal dijel, enam sebatan

Sinar Harian
September 5, 2024 14:10 MYT
Tertuduh dihukum penjara 13 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi atas dua kes amang seksual dan satu kes persetubuhan luar tabii terhadap kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun pada 2020. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang bekas setiausaha kerja sebuah persatuan penggiat seni kekal dihukum penjara 13 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, selepas didapati bersalah atas dua kes amang seksual dan satu persetubuhan luar tabii terhadap kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, pada 2020 lalu.

Ringkasan AI
  • Bekas setiausaha kerja persatuan penggiat seni dihukum penjara 13 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi KL atas dua kes amang seksual dan satu kes persetubuhan luar tabii terhadap kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun pada 2020.
  • Hakim Datuk Noorin Badaruddin menolak permohonan Mohd Khairul Amali Naman untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen pada 12 September 2023.
  • Permohonan penangguhan hukuman dibenarkan dengan syarat perayu memfailkan notis rayuan sebelum 9 September dan melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor setiap bulan.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas menolak permohonan Mohd Khairul Amali Naman, 33, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Hakim Mahkamah Sesyen di sini pada 12 September 2023.
Semasa membaca keputusan penghakimannya, Noorin berkata, tiada sebab untuk Mahkamah Tinggi mengusik dapatan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen.
“Hakim mahkamah rendah juga telah memberikan alasan-alasan, berhubung penerimaan keterangan oleh mangsa dan saksi-saksi pendakwaan sementara menolak keterangan daripada pihak pembelaan.
“Mahkamah Sesyen juga telah memberikan alasan yang wajar, selepas mendapati keterangan tertuduh dan saksi-saksi pembelaannya, tidak dapat menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan,” katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki, semasa kejadian berusia lapan tahun enam bulan, bagi tujuan seksual.
Kesalahan didakwa dilakukan di bilik sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini pada jam 8 hingga 9 malam, antara 2 hingga 7 November 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen (14) (a) dan (14) (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa sengaja melakukan persetubuhan di luar tabii tanpa kerelaan atau bertentangan dengan kemahuannya, dengan meletakkan ketakutan kematian terhadap kanak-kanak tersebut di lokasi dan tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377 A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan.
Pada 12 September 2023, Hakim Mahkamah Sesyen, Tasnim Abu Bakar menjatuhi tertuduh hukuman penjara selama masing-masing 12 tahun dan dua sebatan sementara kes ketiga, jel 13 tahun serta dua sebatan.
Beliau turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling selama tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman.
Bagaimanapun, hukuman pemenjaraan itu berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum, menjadikannya tertuduh perlu dipenjara selama 13 tahun dan enam sebatan.
Dalam prosiding itu, peguam, Mazri Mohamad mewakili lelaki itu selaku perayu, memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan terhadap keputusan tersebut dibuat di Mahkamah Rayuan.
Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan memohon ikat jamin yang diberikan oleh mahkamah rendah dibatalkan dan perayu menjalani hukuman yang disabitkan.
“Pihak pembelaan tidak menyatakan isu keistimewaan yang membolehkan perayu kekal diberikan jaminan daripada menjalani hukuman itu.
“Selain itu, permohonan penangguhan hukuman perlu difailkan secara rasmi,” katanya.
Noorin kemudiannya membenarkan permohonan perayu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut tertakluk kepada notis rayuan yang perlu difailkan pada atau sebelum 9 September ini.
“Ikat jamin sebanyak RM20,000 yang dikenakan terhadap perayu dikekalkan namun dia perlu memenuhi syarat tambahan iaitu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor, sekali setiap bulan.
“Sekiranya rayuan tidak dibuat, perintah penangguhan hukuman ini akan dibatalkan,” katanya. -Sinar Harian
#amang seksual #bekas SU persatuan #seksual kanak-kanak #Mohd Khairul Amali Naman