Kes sebat: Baca dengan mata hati - MB Terengganu
Sinar Harian
September 9, 2018 11:26 MYT
September 9, 2018 11:26 MYT
“Saya pun keliru dan tidak faham kenapa perkara sedemikian dianggap dan digambarkan sebagai perkara negatif, sedangkan aspek yang ingin kita sampaikan kepada masyarakat ialah didikan."
Demikian tegas Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terhadap mereka yang mengutuk hukuman sebat ke atas pasangan lesbian baru-baru ini di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, di sini.
Ahmad Samsuri berkata, dia sendiri kurang pasti sama ada pihak yang tidak bersetuju itu tahu atau tidak sebat secara syariah malah hasil pertemuan beliau dengan beberapa individu yang menyaksikan sendiri hukuman itu bersetuju dengan tindakan terbabit.
“Saya ada bercakap dengan beberapa orang yang hadir pada hari sebat itu dan dia kata, sebat syariah yang dia tengok depan mata dia lebih ringan daripada hukuman pada zaman sekolah yang disebat oleh guru disiplin.
“Perkara ini juga bukan pertama kali dilaksanakan dan ia pernah dijalankan di beberapa negeri seperti Pahang dan juga Mahkamah Syariah Tawau, Sabah,” katanya kepada media selepas menyempurnakan pelepasan peserta Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud di Dataran Batu Burok, di sini, pada Sabtu.
Ahmad Samsuri juga meminta mereka yang tidak bersetuju dengan hukuman itu mencari maklumat yang tepat dan membaca dengan mata hati malah melihat realiti bagaimana hukuman terbabit dipraktikkan.
Katanya, jika digambarkan bahawa sebat syariah ini sama dengan sebat mengikut sistem mahkamah sivil, ia adalah tidak benar dan berbeza sama sekali.
“Pada saya bukan puluhan kali berbeza tapi mungkin ratusan kali berbeza dari segi kekuatannya itu, bayangkan dalam keadaan rotan itu sendiri tidak boleh lebih 1.2 sentimeter (panjang) dan ketebalan pula tidak lebih 1.25 sentimeter.
“Malah ada tatacara dan kaedah bagaimana pelaksanaan ini hendak dibuat iaitu tidak boleh melukakan kulit, harus berpakaian, tidak di punggung tapi di belakang dan ini semua adalah prosedur yang diambil berdasarkan konsep hukum takzir bagi memastikan objektif utama adalah untuk mendidik masyarakat,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri berkata, apa yang berlaku itu (sebat) telah menghantar mesej yang menimbulkan perasaan takut kepada orang-orang tertentu di seluruh dunia dan itulah mesej yang ingin disampaikan beliau supaya gerun untuk melakukan perkara yang dikategorikan salah dalam undang-undang syariah.
Tambah beliau lagi, hukuman yang dijalankan adalah daripada agensi kerajaan Pusat dan jabatan penjara dan bukan dijalankan oleh hakim atau pendakwa raya.
“Saya tidak mendoakan hukuman atau kesalahan ini terus berlaku dalam masyarakat di Terengganu, sebaliknya saya berdoa dan berharap supaya perkara songsang seperti ini tidak lagi wujud tetapi kalau ia wujud, mungkin kita boleh fikirkan supaya orang dari Pusat datang tengok sendiri,” katanya.
#Ahmad Samsuri Mokhtar
#hubungan sejenis
#Hukuman
#lesbian
#mahkamah
#mata hati
#sebat
#sivil
#syariah
#terengganu