Kes saman Waytha Moorthy terhadap Lokman Adam berhubung kematian Adib, selesai
Bernama
Ogos 29, 2022 18:04 MYT
Ogos 29, 2022 18:04 MYT
KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam berhubung ucapan berbaur fitnah membabitkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Peguam yang mewakili Waytha Moorthy, Annou Xavier apabila dihubungi berkata terma perintah persetujuan itu telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, katanya, terma perintah persetujuan itu tidak boleh didedahkan.
"Pada prosiding hari ini, Hakim Datuk Akhtar Tahir merekodkan perintah persetujuan. Saman itu telah diselesaikan," katanya.
Pada 26 April 2019, Waytha Moorthy selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap Lokman Noor sebagai defendan pada 26 April 2019, berhubung ucapannya semasa perhimpunan yang diadakan di ibu negara pada 4 Jan 2019, berhubung kematian Muhammad Adib.
Plaintif yang ketika itu adalah yang bertanggungjawab dalam perpaduan negara dan kesejahteraan sosial, mendakwa defendan telah berucap pada perhimpunan bantahan di ibu negara yang dihadiri kira-kira 100 peserta dan menyebabkan ucapannya dimuat naik dalam laman Facebooknya yang telah mendapat paparan sebanyak 55,500 dan dikongsi sebanyak 1,658 setakat 18 April 2019.
MAHKAMAH-WAYTHA 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR Dakwa plaintif, ucapan fitnah itu diterbitkan menerusi dua video yang dimuat naik melalui saluran Youtube KiniTV dan Sinar TV antaranya bertajuk "Beberapa menteri cuba ubah laporan bedah siasat Adib, dakwa Lokman".
Plaintif juga mendakwa ucapan fitnah itu turut diterbitkan di dalam empat artikel antaranya bertajuk "Lokman dakwa beberapa menteri cuba ubah laporan bedah siasat Adib" dan "Waytha Moorthy antara menteri minta ubah keputusan bedah siasat Adib" di beberapa portal berita termasuk Malaysia Kini dan Minda Rakyat bertarikh 4 Jan dan 5 Jan 2019.
Waytha Moorthy mendakwa kenyataan berunsur fitnah itu adalah tidak benar dan menjejaskan reputasinya sebagai menteri dan senator ketika itu.
Dakwanya, kenyataan fitnah itu antara lain bermaksud beliau seorang menteri yang tidak jujur, cuba memanipulasi laporan perubatan berkaitan kematian Muhammad Adib, gagal melaksanakan tugas sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial selain menghasut rusuhan di Kuil Sri Mariamman di USJ Subang.
Lokman Noor dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 3 Julai 2019, menafikan ucapannya pada perhimpunan itu memfitnah menteri itu dan mendakwa ucapan berkenaan adalah satu komen berpatutan dan dibuat berdasarkan fakta dengan niat untuk kepentingan awam.
-- BERNAMA
#saman fitnah
#P Waytha Moorthy
#Lokman Noor Adam
#kematian anggota bomba
#Muhammad Adib Mohd Kassim