Kes saman PSM dan kerajaan selesai luar mahkamah

Bernama
Oktober 8, 2013 16:55 MYT
Kes saman antara enam anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Kerajaan Malaysia berhubung penahanan di bawah Ordinan Darurat selesai secara baik di luar mahkamah hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng merekodkan penghakiman persetujuan selepas diberitahu peguam Yudistra Darma Doral, yang mewakili anggota PSM bahawa kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan tuntutan saman berdasarkan terma yang dipersetujui.
Yudistra berkata kedua-dua pihak bersetuju bahawa kerajaan Malaysia dan enam pegawai tangkapan yang dinamakan sebagai defendan bersetuju membayar RM200,000 kepada Anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jayakumar dan lima anggota PSM sebagai ganti rugi kos dan faedah.
Menerusi saman yang difailkan pada 23 Mac tahun lepas itu, plaintif menamakan pihak kerajaan, Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan timbalannya, Peguam Negara dan 77 pegawai polis sebagai defendan.
Mereka mendakwa telah ditahan pada 25 Jun tahun lepas di plaza tol Sungai Dua, Pulau Pinang ketika dalam perjalanan menaiki sebuah bas dan dibebaskan pada 2 Julai setelah tempoh reman tamat.
Bagaimanapun mereka mendakwa ditahan semula di bawah Ordinan Darurat dan dibebaskan selepas 27 hari, pada 29 Julai.
Mereka mendakwa telah ditahan secara salah tanpa mengikut peruntukan undang-undang.
#mahkamah #PSM
;