Kes saman keluarga penumpang MH370 terhadap kerajaan, MAS kukuh - Peguam
Wan Syamsul Amly
Oktober 31, 2014 16:27 MYT
Oktober 31, 2014 16:27 MYT
Saman keluarga penumpang pesawat malang MH370 terhadap Kerajaan, Malaysian Airlines System Berhad (MAS) dan badan-badan lain yang dinamakan plaintif, dilihat kukuh.
Peguam yang mewakili dua anak lelaki penumpang MH370 yang memfailkan saman tersebut, Datuk Dr. S. Arunan berkata, saman itu dibuat kerana plaintif kehilangan punca pendapatan.
"Bagaimanapun, keputusan akhir akan diputuskan mahkamah kelak. Pada pihak kami, kes ini sudah diteliti selain dirujuk kepada beberapa orang pakar.
"Kita juga meneliti maklumat baru berhubung perkembangan MH370. Selepas membuat penelitian, kita rasa kes ini kukuh," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Pada Jumaat, dua anak kepada seorang penumpang pesawat MH370 memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap kerajaan Malaysia dan MAS.
Saman itu difailkan mereka yang berusia 13 dan 11 tahun, melalui firma guaman, Tetuan Rusman Arun & Associates.
Plaintif juga menamakan MAS, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia dan Kerajaan Malaysia masing-masing selaku defendan pertama hingga kelima.
Dalam pada itu kata Dr. S. Arunan, beberapa keluarga penumpang MH370 juga turut menghubunginya untuk mengetahui prosedur kes saman yang sama.
"Beberapa keluarga juga buat panggilan dan bertanya isu saman ini," ujarnya.
Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan, mengikut undang-undang Amerika Syarikat (AS), keluarga dan waris penumpangnya kini boleh membawa tuntutan mereka terhadap syarikat pengeluar pesawat, Boeing, di mahkamah negara itu.
Ini kerana, mengikut undang-undang AS, ada peraturan 45 hari tempoh masa sebelum peguam boleh berurusan dengan keluarga mangsa untuk memfailkan tuntutan saman di mahkamah selepas sesebuah pesawat terbabit dalam kemalangan.
Ahli keluarga penumpang dan anak kapal penerbangan Malaysia Airlines MH370 melalui laman Facebook Voice370 sebelum ini menuntut pihak kerajaan mengeluarkan senarai barangan (cargo manifest) yang dibawa dalam ruang kargo pesawat malang itu.
Kata mereka, senarai berkenaan hanya dikeluarkan pada 1 Mei walaupun pesawat MH370 hilang pada 8 Mac.
Pada pertengahan September, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga penaung Yayasan Pendidikan yang ditubuhkan Eu Yan Sang dan Kumpulan Genting masing-masing berikrar untuk menyumbang RM500,000 kepada penubuhan Yayasan Pendidikan bagi anak-anak kru kabin Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 dan MH17.
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, dipercayai telah berakhir di selatan Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, berdasarkan analisis data satelit oleh pakar dari United Kingdom.
Misi pencarian MH370 masih diteruskan tetapi setakat ini tiada petunjuk ditemui berhubung pesawat itu.