Kes saman fitnah selesai, Kamarul Zaman mohon maaf kepada Mujahid

Bernama
November 21, 2018 20:48 MYT
Mujahid berkata, beliau mendapat keadilan selepas defendan mengemukakan permohonan maaf dan menyatakan kekesalan terhadap penerbitan artikel itu. - Gambar fail
Saman fitnah yang difailkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa terhadap bekas Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Ia berikutan Kamarul Zaman selaku defendan memohon maaf dan menyatakan kekesalan terhadap artikel bertajuk "Dr Mujahid antara kuda tunggangan terbaik DAP" yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya pada 25 Mei 2017.
Kamarul Zaman yang membacakan pernyataan maaf di hadapan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad berkata beliau kesal dengan penerbitan artikel itu.
"Saya dengan rendah diri dan suci hati tanpa sebarang paksaan memohon maaf kepada Mujahid atas penerbitan artikel itu.
"Saya dengan ini juga menarik balik artikel itu dan berjanji tidak akan menerbitkan kembali artikel berkenaan mahu pun apa-apa kenyataan yang seumpama dengannya," kata Kamarul Zaman yang diwakili peguam Ahmad Kamal Abu Bakar.
Sementara itu, peguam Mohd Fitri Asmuni yang mewakili Mujahid memberitahu mahkamah bahawa melalui penghakiman persetujuan yang dicapai, kedua-dua pihak bersetuju menarik balik tuntutan saman utama dan tuntutan balas tanpa sebarang perintah berhubung kos.
Mohd Fitri berkata, kenyataan yang dibacakan Kamarul Zaman akan diterbitkan dalam akaun Facebook peribadi beliau serta-merta dan ia adalah penyelesaian akhir dan muktamad.
Hakim Nik Hasmat yang merekodkan penghakiman persetujuan itu berkata, kedua-dua pihak menunjukkan kematangan dan menampakkan keikhlasan dalam menyelesaikan tuntutan saman itu.
"Kedua-dua pihak yang berada di depan saya, sangat matang dan personaliti berpengetahuan di mana seorang adalah menteri dan seorang lagi ahli akademik. Defendan ikhlas apabila memohon maaf dan menyatakan kekesalan manakala plaintif pula meneruskan dengan kehidupannya," katanya.
Dalam saman yang difailkan pada 13 Julai 2017, Mujahid mendakwa Kamarul Zaman menerusi laman Facebooknya pada 25 Mei tahun lepas, menuduh beliau kuda tunggangan DAP dan berkata kenyataan itu menjejaskan imej, reputasi, kedudukan dan kerjayanya sebagai umat Islam, anggota Parlimen, pemimpin parti dan masyarakat.
Beliau menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta, termasuk ganti rugi keterlaluan atau teladan untuk libel.
Mujahid yang ditemui media selepas prosiding berkata, beliau mendapat keadilan selepas defendan mengemukakan permohonan maaf dan menyatakan kekesalan terhadap penerbitan artikel itu.
"Kita juga meminta apa yang dibacakan di mahkamah itu akan diterbitkan dalam Facebook defendan serta-merta," kata anggota Parlimen Parit Buntar itu.
-- BERNAMA
#artikel #DAP #Facebook #fitnah #Kamarul Zaman Yusoff #Kuda tunggangan #Maaf #mahkamah #Mujahid Yusof Rawa #politik #saman
;