Kes saman fitnah Sarawak Report didengar Isnin, Pas yakin menang

Bernama
April 29, 2018 14:19 MYT
ABDUL HADI: Peguam kita di London memberi keyakinan kita akan menang, Sarawak Report kena bayar belanja kewangan kita, sebab bukan murah, berjumlah RM1 juta. - Gambar fail
Pas melahirkan keyakinan untuk memenangi kes saman fitnahnya ke atas Sarawak Report yang akan dibicarakan pada isnin ini di London, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya ia berdasarkan bukti-bukti yang telah dihantar oleh peguam parti itu ke mahkamah di sana.
"Kita suruh minta maaf dia tidak mahu, kita dah hantar segala dokumen melalui peguam kita dan berdasarkan perkembangan semasa, peluang kita untuk menang saman fitnah ini (ke atas Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown) lebih kurang 80 peratus.
"PAS sudah saman surat khabar ini (Sarawak Report). InsyaAllah, Isnin ini akan mula dibicara dan keputusan mungkin beberapa hari selepas itu.
"Peguam kita di London yang ambil kes ini memberi keyakinan kita akan menang. Dia (Sarawak Report) kena bayar belanja kewangan kita, sebab bukan murah, berjumlah RM1 juta," katanya pada Ceramah Perdana Parlimen Marang di sini, semalam.
Turut hadir pada ceramah itu adalah barisan calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Marang, yang merupakan program ceramah pertama mereka sebaik sahaja penamaan calon.
Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April lalu susulan laporan Sarawak Report pada 6 Ogos, 2017 yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS sebagai usaha Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak 'menarik' kepimpinan parti Islam itu menyokong Barisan Nasional dan UMNO
"Orang kata nak bayar RM1 juta Pas ambil duit dari mana. Ada orang Pas yang kaya-kaya yang tolong kita bayar dulu. Selepas itu, kita kutip derma balik untuk bayar. Orang yang fitnah ini ada di Malaysia tetapi dilapor akhbar luar, mereka sembunyi di Malaysia," katanya.
Pada Oktober 2007, Abdul Hadi menang kes saman ke atas Daily Mirror, sebuah akhbar tempatan di London berhubung kes laporan palsu yang mendakwa beliau sebagai perancang kepada beberapa siri pengeboman di United Kingdom.
-- BERNAMA
#Abdul Hadi Awang #Clare Rewcastle-Brown #Daily Mirror #fitnah #laporan palsu #London #mahkamah #Marang #Parlimen #PAS #peguam #pengeboman #saman #Sarawak Report
;