Kes saman Dr Zakir Naik terhadap Kulasegaran selesai secara baik
Bernama
Julai 4, 2022 18:53 MYT
Julai 4, 2022 18:53 MYT
KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah yang difailkan pendakwah bebas Dr Zakir Naik terhadap Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran selesai secara baik tanpa perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini.
Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Dr Zakir berkata terma-terma dalam perintah persetujuan telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak, namun ia tidak boleh didedahkan.
"Pada prosiding hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran Arifin telah merekodkan perintah persetujuan itu. Kes saman itu berjaya diselesaikan secara baik," katanya ketika dihubungi hari ini.
Peguam K.Shanmuga yang mewakili Kulasegaran mengesahkan perkara itu.
Sebelum ini, kes itu telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 26 dan 27 Jun tahun ini.
Pada 27 Nov 2019, Dr Zakir memfailkan saman itu terhadap Kulasegaran berhubung kenyataan ahli politik tersebut yang didakwa telah mengundang kecaman awam terhadapnya dan menggambarkan beliau sebagai ancaman kepada keselamatan negara.
Dalam pernyataan tuntutannya, selain pampasan dan ganti rugi daripada Kulasegaran, Dr Zakir turut memohon perintah injunksi daripada mahkamah bagi melarang defendan menerbit serta menyebarkan empat artikel yang didakwa berbaur fitnah.
Zakir turut menuntut permohonan maaf dikeluarkan oleh defendan serta disiarkan di akhbar dan portal berita secara dalam talian dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis diserahkan.
-- BERNAMA