Kes saman Anwar terhadap Khairy selesai luar mahkamah
Bernama
Januari 16, 2013 16:51 MYT
Januari 16, 2013 16:51 MYT
Kes saman fitnah RM100 juta yang difail Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Khairy Jamaluddin pada 7 Sept 2007 diselesaikan Rabu selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bagi penyelesaian di luar mahkamah.
Penyelesaian itu direkod Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam semasa kes disebut di hadapan beliau.
Peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Anwar memberitahu mahkamah kes itu diselesai memandangkan defendan (Khairy) bersedia untuk mengatakan beliau tidak mengeluarkan perkataan yang menyinggung perasaan.
"Tiada perintah untuk kos," katanya.
Hakim Su turut berterima kasih kepada kedua-dua pihak kerana menjimatkan masa mahkamah.
Perbicaraan kes itu yang bermula semalam sepatutnya disambung hari ini.
Anwar dalam samannya mendakwa Khairy, yang ketika itu Timbalan Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya pada satu majlis politik di Kuala Kangsar pada Ogos 2007, yang disiar media cetak dan elektronik pada 3 Ogos tahun sama.