Kes salah laku DBKL: Tiada elemen jenayah, wujud kelemahan tatakelola - Azam Baki

Bernama
Februari 17, 2025 18:05 MYT
Menurut Azam, dapatan itu ialah hasil semakan pihak SPRM terhadap dokumen yang dibekalkan oleh pihak DBKL pada 7 Feb lepas. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Tiada elemen jenayah didapati berlaku berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.

Ringkasan AI
  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui elemen jenayah dalam dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat DBKL berkaitan pemberian projek bernilai RM4 juta.
  • SPRM mendapati terdapat kelemahan dalam tatakelola garis panduan DBKL yang perlu diperbaiki.
  • Bahagian Penyiasatan Tatakelola (PBT) SPRM sedang meneliti amalan dan prosedur DBKL berkenaan proses perolehan dan pembayaran untuk memastikan ia mematuhi garis panduan dan peraturan yang sedia ada.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata dapatan itu ialah hasil semakan pihaknya terhadap dokumen yang dibekalkan oleh pihak DBKL pada 7 Feb lepas berhubung pelaksanaan projek penerbitan kandungan dan siaran studio serta konti radio DBKL.
"Bagaimanapun, semakan SPRM mendapati terdapat beberapa kelemahan dari segi tatakelola pada garis panduan DBKL dan ia perlu diperkemaskan.
"Oleh yang demikian, Bahagian Penyiasatan Tatakelola (PBT) SPRM sedang meneliti amalan dan beberapa prosedur DBKL berkenaan proses perolehan dan pembayaran kepada pihak tertentu mengikut garis panduan dan peraturan-peraturan yang sedia ada," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada 6 Feb lepas, SPRM dilaporkan sedang meneliti dokumen berkaitan dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Azam berkata SPRM telah mendapat akses kepada dokumen yang diperoleh hasil siasatan dalaman dijalankan pihak DBKL.
-- BERNAMA
#salah laku DBKL #SPRM #Azam Baki #tiada unsur jenayah #terkini
;