Kes salah guna kuasa: Pemimpin PN hadir beri sokongan kepada Muhyiddin

Faida Rahim
September 11, 2024 10:00 MYT
Muhyiddin tiba di perkarangan Mahkamah Rayuan Putrajaya pagi ini, diiringi beberapa pemimpin parti. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) kelihatan hadir di perkarangan lobi Istana Kehakiman di sini untuk memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan kes mahkamah hari ini.
Ia berhubung keputusan permohonan Pengerusi PN yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, untuk menyemak dapatan Mahkamah Rayuan, yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta dihadapinya.
Antara yang hadir adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Mereka dilihat tiba seawal jam 8 pagi.
Muhyiddin, yang juga bekas perdana menteri, tiba di bangunan mahkamah tersebut pada jam 9 pagi menaiki Toyota Vellfire hitam, diiringi ahli keluarga.
Permohonan Muhyiddin untuk menyemak dapatan Mahkamah Rayuan itu akan diputuskan pagi ini.
Keputusan akan dibuat panel lima hakim Mahkamah Rayuan (panel lain) dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, bersama-sama Datuk Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.
Pada 15 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan terbabit.
Ia susulan empat pertuduhan itu didakwa tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Bagaimanapun, pada 28 Feb lalu, Mahkamah Rayuan mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut, selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti Bersatu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
#Muhyiddin Yassin #Mahkamah Rayuan #salah guna kuasa #Jana Wibawa
;