Kes rusuhan kuil: 21 lagi direman

Bernama
Disember 6, 2018 16:50 MYT
Pada 25 dan 26 Nov lepas, berlaku rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, mengakibatkan seorang anggota bomba cedera parah, 23 kenderaan dibakar serta bangunan dirosakkan. - Astro AWANI/Fail
Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan perintah reman selama dua hingga empat hari terhadap 21 lagi individu untuk membantu siasatan berhubung insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Isnin minggu lepas.
Majistret Nurshahirah Abd Salim mengeluarkan perintah reman itu bermula hari ini bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 40 tahun.
Mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah) dan Seksyen 506 (ugutan jenayah).
Dua hari lepas, empat lelaki termasuk seorang pegawai keselamatan syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City) yang terbabit dalam insiden kekecohan di kuil itu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan merusuh dengan menggunakan senjata berbahaya.
Sementara itu, dua lagi lelaki yang terlibat dalam insiden sama masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan didenda RM5,000 atas tiga pertuduhan gagal mematuhi arahan bersurai, mengabaikan perintah polis yang menyelia lalu lintas di sekitar kawasan kuil berkenaan serta gagal mengemukakan kad pengenalan diri.
-- BERNAMA
#jenayah #kekecohan #keselamatan #kuil #mahkamah #Mahkamah Majistret #One City #Pegawai Keselamatan #penjara #polis #reman #senjata #siasatan #Sri Maha Mariamman #Subang Jaya #suspek
;