Kes Rosmah: 'Mem' mahu saya sediakan perjanjian perundingan untuk projek solar - Saksi
Bernama
September 7, 2020 23:03 MYT
September 7, 2020 23:03 MYT
Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa ‘mem’ mahu beliau menyediakan perjanjian perundingan bagi projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak.
Lawrence Tee Kien Moon, 51, berkata perkara itu dimaklumkan oleh bekas Pegawai Khas Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor kepadanya semasa pertemuan mereka pada Mei 2016 di The Coffee Bean & Tea Leaf terletak di pusat beli-belah Pavilion, yang turut dihadiri Rayyan Radzwill Abdullah (rakan kongsi bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin).
Tee ketika membacakan keterangan saksinya berkata semasa pertemuan itu, Rizal memberitahunya dia harus menyediakan perjanjian perundingan untuk projek pembekalan dan pemasangan panel solar untuk lebih 300 sekolah di Sarawak.
“Saya mempersoalkan permintaan Datuk Rizal dan memberikan respons yang sama seperti saya lakukan kepada Rayyan bahawa perjanjian itu boleh disediakan oleh peguam Jepak. Saya juga beritahu Datuk Rizal, saya tidak pernah menyediakan perjanjian seperti itu dan perlu meminta peguam saya menyediakannya.
“Datuk Rizal kemudian beritahu saya bahawa saya harus menyediakannya kerana ‘mem’ mahu saya yang buat. Saya tidak bertanya kepadanya siapakah ‘mem’ tetapi saya kabulkan permintaannya kerana Datuk Rizal adalah Pegawai Khas Datin Seri Rosmah Mansor,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn.
Ketika ditanya oleh Poh siapakah ‘mem’, saksi menjawab “Datin Seri Rosmah”.
Saksi itu yang dilantik sebagai perunding bagi sebuah syarikat di Vietnam pada 2016, mengatakan pada masa itu tiada perbincangan mengenai syarat komersial untuk perjanjian berkenaan kerana Rizal berkata ‘mem masih discuss’ (mem masih membincangkan perkara itu) dan pertemuan itu hanya berlangsung selama 15 hingga 20 minit kerana Tee harus berangkat ke Singapura.
“Selepas beberapa hari Datuk Rizal menghubungi saya dan bertanyakan tentang perjanjian perundingan. Pada masa itu saya berada di Vietnam. Saya serahkan pemacu pena kepada setiausaha saya yang mengandungi contoh perjanjian perundingan yang saya peroleh dalam internet untuk dicetak.
“Saya menemui contoh itu semasa waktu lapang saya di Singapura. Saya cari pencontoh perjanjian perundingan untuk digunakan sebagai rujukan dalam penyediaan perjanjian perundingan tersebut,” katanya.
Tee berkata seperti yang beliau ingat, nilai kontrak projek solar itu melebihi RM1 bilion dan jangka masa pembayarannya melebihi beberapa tahun dan lebih daripada 10 peratus daripada jumlah nilai kontrak.
“Pada masa itu Datuk Rizal mahu saya memilih sebuah syarikat untuk melaksanakan perjanjian tersebut dengan Jepak. Saya bertanya, kenapa mereka tidak menggunakan syarikat mereka sendiri yang lebih mudah dari perspektif pengurusan tetapi mereka enggan,” katanya.
Saksi itu berkata beliau menyediakan perjanjian perundingan itu berdasarkan contoh daripada internet dan mendraf perjanjian itu dalam bahasa Inggeris.
“Pihak yang dinyatakan dalam perjanjian itu adalah Jepak Holdings dan Lucky Victory Limited sebagai perunding. Saya memilih Lucky Victory yang merupakan ‘syarikat luar pesisir’ berpangkalan di Taiwan untuk bertindak sebagai perunding untuk projek (solar) itu,” katanya.
Terdahulu, mahkamah menolak permohonan peguam pembelaan, Datuk Akberdin Abdul Kader untuk mencabar keterangan Saidi kerana didakwa memberi keterangan bercanggah berhubung pengeluaran wang RM1.5 juta yang dikatakan diberi kepada Rosmah.
Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi.
Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.
-- BERNAMA
#Internet
#mahkamah
#nilai
#pendidikan
#Putrajaya
#Rizal Mansor
#Rosmah Mansor
#sekolah
#Singapura
#solar
#Vietnam