Kes rogol remaja: Polis ingatkan henti spekulasi

Sinar Harian
April 11, 2023 11:54 MYT
Pasangan suami isteri berusia 40 dan 36 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 Sabtu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). - Foto Astro AWANI
JASIN: Polis menggesa orang ramai menghentikan sebarang spekulasi berhubung siasatan yang dijalankan membabitkan remaja perempuan berusia 16 tahun yang didakwa dirogol bapa tiri.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, sebarang kenyataan mahupun komen boleh mengganggu perasaan dan sensitiviti keluarga terutama mangsa sekali gus khuatir akan mengganggu siasatan.
"Kes rogol itu polis telah membuat tangkapan terhadap ibu dan bapa tiri remaja terbabit dan masih dalam siasatan lanjut.
"Saya mohon kepada masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau hal yang tidak tepat, biarkan pihak polis lakukan siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Tambah beliau, beberapa saksi termasuk rakan lelaki kepada remaja perempuan terbabit sudah dipanggil untuk dirakam keterangan.
"Individu yang merupakan kawan lelaki kepada remaja itu antara saksi dan telah dipanggil untuk diambil serta dirakam keterangan bagi membantu siasatan," katanya.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan ibu kandung dan bapa tiri kepada seorang remaja perempuan ditahan bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan remaja terbabit.
Ahmad Jamil berkata, pasangan suami isteri berusia 40 dan 36 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 Sabtu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dipercayai baru pulang dari Sabah. -- Sinar Harian
#Remaja perempuan #rogol #bapa tiri #Jasin
;