Kes rogol: Pendakwaan fail rayuan hukuman terhadap Da'i Syed
Sinar Harian
November 5, 2024 15:05 MYT
November 5, 2024 15:05 MYT
SHAH ALAM: Pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini, berhubung hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dikenakan terhadap pendakwah selebriti, Da'i Syed atas satu pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019.
Notis Rayuan terbabit telah difailkan dalam jangka masa 14 hari selepas keputusan dibuat oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Bagaimanapun maklumat terperinci mengenai rayuan hukuman itu tidak didedahkan secara terperinci.
Serentak dengan itu, notis rayuan daripada pihak pembelaan Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, berhubung sabitan dan hukuman berkenaan, turut difailkan.
Susulan itu, semasa pengurusan kes, Timbalan Pendaftar, Nadia Othman memerintahkan petisyen rayuan berhubung notis berkenaan, difailkan selewat-lewatnya Rabu bagi pihak pembelaan sementara Khamis untuk pendakwaan.
Sementara itu, peguam, Muhammad Amin Othman berkata, pihaknya akan memfailkan petisyen itu secepat mungkin.
“Bagaimanapun, alasan-alasan serta maklumat dalam petisyen tidak dapat didedahkan.
“Begitu juga dengan alasan petisyen oleh pihak pendakwaan, ia masih diperingkat pramatang,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah, sejurus prosiding selesai.
Sebelum ini, kedua-dua pihak memfailkan notis rayuan dalam masa 14 hari selepas Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhi hukuman penjara dan sebatan terhadap Syed Shah Iqmal.
Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maizatul Munirah Abdul Rahman.
Mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 10 Disember depan.
Pada 30 Ogos lalu, Syed Shah Iqmal menangis teresak-esak selepas Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan merogol seorang wanita, pada lima tahun lalu.
Norazlin memerintahkan bapa kepada seorang anak itu dihukum serta-merta kerana didapati bersalah susulan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Bagaimanapun, setelah 21 hari meringkuk di Penjara Kajang, Syed Shah Iqmal dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 20 September, sementara menunggu rayuan kesnya di Mahkamah Tinggi.
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019.
Atas kesalahan tersebut, dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian