Kes rogol Paul Yong: Mangsa hubungi kedutaan mengadu diperkosa - Saksi

Abd Razak Mohd Ali
April 5, 2021 18:55 MYT
Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh pada 23 Ogos 2019 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh terhadap pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia berumur 23 tahun. - Gambar fail/ Bernama
IPOH: Seorang saksi kes rogol melibatkan bekas Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, pada Isnin, bahawa mangsa mengadu telah diperkosa oleh majikannya.
Riki Sapari dari Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur memberitahu, mangsa membuat aduan itu melalui panggilan telefon kira-kira jam 11 pagi, pada 8 Julai 2019.
Katanya, ketika itu dia sedang bertugas di bahagian pengaduan di pejabat kedutaan, sebelum menerima panggilan daripada seorang wanita yang kedengaran seperti sedang menangis ketakutan, panik dan berkata berulang-ulang, meminta supaya diselamatkan.
Bagaimanapun, katanya, dia meminta mangsa bertenang dan bercakap dengan sedikit lambat supaya dia boleh memahami aduan mangsa dengan jelas.
Perbicaraan kes rogol Paul Yong di Mahkamah Tinggi Ipoh bermula
Saksi ketiga pendakwaan itu berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin dalam perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.
Menurut Riki, seingatnya mangsa menghubunginya sebanyak tiga kali dan meminta untuk diselamatkan kerana berada dalam ketakutan.
Pada panggilan pertama dan kedua, dia meminta mangsa supaya melarikan diri dan pergi ke balai polis terdekat sementara dia melaporkan kejadian itu kepada pihak atasan untuk tindakan selanjutnya.
BACA: Bicara kes rogol Paul Yong bermula di Mahkamah Tinggi Ipoh
BACA: Exco Perak Paul Yong mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol
BACA: Bicara kes rogol ADUN Tronoh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi
Dia juga memberitahu mahkamah, dia kemudian menghubungi balai polis di Ipoh serta agensi pembantu rumah wanita itu di negara ini untuk pergi memeriksa kebenaran laporan terbabit di alamat yang diperolehi daripada sistem komputer di pejabat kedutaan.
Saksi itu kemudiannya dimaklumkan oleh agensi terbabit yang mereka sudah pergi ke rumah majikan wanita itu tetapi mangsa tiada di rumah dan pihak agensi sudah membuat laporan polis.
Perbicaraan bersambung pada Selasa.
Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh pada 23 Ogos 2019 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh terhadap pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia berumur 23 tahun.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pada Isnin, perbicaraan kes itu bermula di Mahkamah Tinggi di sini, selepas ditangguh beberapa kali sejak lebih setahun lalu.
#Paul Yong #ADUN Tronoh #rogol pembantu rumah #warga Indonesia #perbicaraan #Mahkamah Tinggi #rogol #bicara bermula #saksi #Kedutaan Indonesia #aduan #diperkosa
;