BACHOK: Polis menggesa golongan ibu bapa di Kelantan supaya memantau pergerakan anak-anak mereka memandangkan jenayah rogol terutamanya melibatkan remaja bawah umur di negeri ini agak membimbangkan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini sahaja sebanyak 51 kes rogol direkodkan berbanding 39 kes bagi tempoh sama tahun lepas dengan paling ketara kes itu melibatkan remaja bawah umur dan pelajar sekolah seawal usia 13 tahun.

"Kebanyakan kes yang dikesan berlaku kerana suka sama suka tetapi apabila melibatkan situasi bawah umur ia dikategorikan sebagai kes rogol.

Kita juga mendapati mangsa dan suspek saling mengenali dengan kebanyakannya berkenalan melalui laman sosial seperti Facebook ataupun aplikasi WhatsApp," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Balai Polis Jelawat yang dinaik taraf dari Pondok Polis kepada Balai Polis Jelawat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien berkata bagi tempoh Januari hingga Julai juga, sebanyak 16 kes rogol direkodkan di Kota Bharu berbanding hanya lima kes bagi tempoh sama pada 2020.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 14 kes sumbang mahram direkodkan bagi tempoh sama berbanding 15 kes tahun lepas.

"Berikutan kes melibatkan remaja bawah umur berusia antara 13 hingga 16 tahun ini, kita amat mengharapkan golongan ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak walaupun berada di rumah.

"Apa yang kita ketahui ada juga kes berlaku di rumah mangsa dan di rumah suspek ketika ketiadaan ibu bapa di rumah. Mereka mungkin berkenalan melalui laman sosial dan ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memantau apa yang dilakukan oleh anak-anak," katanya.

Shafien berkata berdasarkan kes yang direkodkan, 90 peratus daripada kebanyakan suspek berjaya ditahan kerana dikenali oleh mangsa.

Sementara itu, mengulas mengenai Balai Polis Jelawat yang dinaik taraf, Shafien berkata balai itu akan mulai beroperasi sepenuhnya hari ini dengan kekuatan seorang sarjan mejar dan 15 anggota lain-lain pangkat.

Katanya, orang ramai boleh hadir membuat sebarang laporan di balai berkenaan dan jika ada sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 09-7789422 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok di talian 09-7788222.

-- BERNAMA