Kes rogol: Da'i Syed dipenjara 10 tahun, tiga sebatan

Bernama
Ogos 30, 2024 12:00 MYT
Da'i Syed (tengah) dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah merogol seorang wanita, lima tahun lepas. --fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Pendakwah selebriti, Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol seorang wanita, lima tahun lepas.
Hakim Norazlin Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Shah Iqmal, 29, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Beliau berkata tertuduh merupakan seorang pendakwah agama dan penceramah motivasi yang memberikan impak besar kepada masyarakat justeru perbuatan yang dilakukan tertuduh terhadap mangsa tidak dapat diterima akal yang munasabah.
"Mahkamah mempertimbangkan kesan trauma kepada mangsa kerana mangsa mengumpulkan kekuatannya untuk tampil membuat laporan polis terhadap tertuduh dan perlu menghadiri proses perundangan yang panjang di mahkamah," kata Norazlin yang memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Syed Shah Iqmal dituduh merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira pukul 1.35 pagi pada 11 Sept 2019, mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.
Dalam penghakimannya, Norazlin berkata mahkamah berpendapat bahawa pembelaan tertuduh adalah bersifat penafian dan pemikiran semula meskipun disokong pernyataan awalnya kepada pihak polis.
Beliau berkata keterangan tertuduh juga tidak cukup untuk mematahkan kes pendakwaan bahawa kejadian rogol sememangnya telah berlaku.
"Tertuduh menafikan terdapat elemen paksaan terhadap mangsa, bermula ketika tertuduh mengajak mangsa keluar hingga ke saat hubungan seks dilakukan. Tertuduh turut menafikan terdapat ancaman kepada mangsa, sama ada semasa atau selepas kejadian dan dia juga menyatakan mangsa tidak cuba melarikan diri dan komunikasi mereka selepas itu adalah baik.
"Namun, pembelaan berhujah bahawa keterangan tertuduh itu tidak konklusif dan tidak sepatutnya diterima oleh mahkamah kerana pembelaan tertuduh adalah penafian semata-mata," kata hakim itu.
Menurut Norazlin, mahkamah juga mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa tertuduh adalah individu yang mula-mula mengajak mangsa keluar dan membawa mangsa ke rumahnya.
"Tertuduh mempunyai latar belakang sebagai seorang penceramah dan motivator terkenal, mempunyai satu kedudukan yang mulia dan dipercayai oleh mangsa. Pihak pendakwaan juga telah membuktikan mangsa adalah seorang yang lemah kerana mengalami kemurungan dan ini menyebabkan mangsa yang lurus bendul tidak boleh membuat keputusan serta tidak boleh melawan," katanya.
Sebaik mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Syed Shah Iqmal, dia dilihat sebak dan menangis dalam kandang tertuduh.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam memandangkan jenayah rogol semakin berleluasa.
"Berdasarkan kedudukan (tertuduh) dan keterangan saksi-saksi, tertuduh ialah individu dikenali ramai dan seorang pendakwah yang mempunyai latar belakang agama yang kukuh serta motivator kepada golongan muda yang seusia dengan tertuduh.
"Apabila karakter ini ditonjolkan kepada masyarakat ia dipandang tinggi, namun tertuduh menggunakan kedudukannya dan mengambil kesempatan ke atas mangsa," katanya.
Peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili tertuduh memohon supaya penangguhan pelaksanaan hukuman diberikan dengan alasan kesalahan dilakukan tertuduh adalah kesalahan kali pertama.
"Anak guam saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak yang baru berusia 16 hari dan isterinya hadir ke mahkamah hari ini walapun masih berada dalam tempoh berpantang. Sekiranya, anak guam saya dimasukkan ke penjara, ia akan memusnahkan kehidupannya kerana isteri dan anaknya memerlukan tertuduh," kata peguam itu.
Seramai 18 saksi pendakwaan dan satu saksi pembelaan iaitu tertuduh, memberikan keterangan pada perbicaraan kes itu.
Pada 10 April tahun lepas, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan merogol selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 Mac lepas mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan tersebut.
-- BERNAMA
#Da'i Syed #Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful #rogol wanita #gagal menimbulkan keraguan munasabah #Hana Ismail
;