Kes rogol babit remaja: Ibu bapa perlu kawal peranti PdPR, awasi perubahan anak

Rahimah Abdullah
September 6, 2021 17:45 MYT
Ibu bapa disaran peka dengan tingkah laku anak-anak terutama berkaitan komunikasi dalam media sosial. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu bijak mengawal penggunaan peranti dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak-anak bagi memastikan mereka tidak terpengaruh dengan gejala negatif terutama membabitkan seks.
Ia juga faktor dan usaha penting dalam mengekang jenayah rogol termasuk ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Pakar Psikologi Universiti SEGi, Prof Datin Mariani Md Nor.
Beliau berkata, ibu bapa juga perlu peka dengan tingkah laku anak-anak terutama berkaitan komunikasi dalam media sosial.
Jelas beliau, usaha mengekang masalah sosial sedemikian bukan suatu perkara mudah kerana kanak-kanak dan remaja memerlukan alat peranti untuk menjalani PdPR.
Malah, mereka juga diakui mungkin akan memberi pelbagai alasan yang berkaitan dengan pelajaran apabila ibu bapa cuba mengawal penggunaan alat peranti berkenaan.
"Memang agak sukar dikawal terutama pelajar-pelajar, remaja sebab kalau ibu bapa kata alat peranti tidak boleh digunakan lagi, mereka akan menjawab mereka ada tugasan yang perlu dibincang bersama.
"Laluan ke PdPR itu sebenarnya juga boleh membuka laluan kepada aspek lain yang agak negatif jika tidak dikawal. Tidak menyalahkan PdPR, tetapi di sini, ibu bapa perlu membuat kawalan yang lebih bijak lagi dan dalam usaha mengekang itu.
"Ibu bapa juga perlu mengenali siapa anak mereka dari segi aspek tingkah laku mereka, dengan siapa mereka bersembang di media sosial. Mengenai kedatangan orang lain ke rumah, macam-macam alasan yang akan diberikan remaja cuma ibu bapa kena bijak untuk elak gejala sosial seksual," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
BACA: Kes rogol libatkan remaja bawah umur di Kelantan membimbangkan - Polis
Ibu bapa ujarnya dinasihatkan sentiasa melihat perubahan tingkah laku anak-anak yang mungkin dibimbangi menjadi mangsa kepada aktiviti sosial kesan pengaruh alat peranti dan media sosial.
"Selalunya mereka yang sedang bercinta ini ada perubahannya. Jadi, perubahan inilah yang perlu diketahui ibu bapa.
"Mungkin daripada seorang yang periang, suka bersembang tetapi jadi pendiam, suka berseorangan, ini yang perlu dipantau ibu bapa dan bukan sahaja setakat pantau alat peranti itu," tambahnya.
Sebelum ini, polis menggesa golongan ibu bapa di Kelantan supaya memantau pergerakan anak-anak mereka memandangkan jenayah rogol terutamanya melibatkan remaja bawah umur di negeri berkenaan agak membimbangkan.
Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini sahaja sebanyak 51 kes rogol direkodkan berbanding 39 kes bagi tempoh sama tahun lepas dengan paling ketara kes itu melibatkan remaja bawah umur dan pelajar sekolah seawal usia 13 tahun.
#kes rogol remaja #Kelantan #PdPR #peranan ibu bapa
;