Kes remaja perempuan jatuh kondominium di Bayan Baru tiada unsur jenayah - Polis

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 30, 2022 20:17 MYT
Pada Isnin, seorang remaja perempuan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 11 kondominium di Persiaran Bayan Indah. - Ihsan pembaca
GEORGE TOWN: Polis mengklasifikasikan kematian remaja perempuan berusia 13 tahun yang maut dipercayai terjatuh dari tingkat 11 sebuah kondominium di Persiaran Bayan Indah, Bayan Baru semalam sebagai kematian mengejut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, setakat ini tiada unsur jenayah dikesan membabitkan kematian remaja tersebut.
Bagaimanapun , polis tidak menolak akan membuka semula siasatan pada masa depan sekiranya terdapat sebarang elemen atau unsur yang memerlukan siasatan lanjut.
Mohd Shuhaily berkata, temu bual bersama ibu bapa mangsa mendapati tiada sebarang masalah atau kejadian luar biasa berlaku sebelum mayat remaja itu ditemui di aras satu kondominium terbabit.
"Kita tidak pasti apa yang berlaku terhadap remaja itu atau apa yang bermain di dalam fikirannya sebelum kejadian itu berlaku.
"Malah ibu bapa mangsa juga keliru dengan kejadian yang menimpa anak mereka dan memaklumkan mangsa juga tidak dimarahi oleh sesiapa sebelum kejadian," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily turut mengesahkan mangsa ada meninggalkan sekeping nota, namun tidak memberikan apa-apa alasan.
Menurut ibu bapa mangsa, anak mereka seorang yang pendiam dan suka bersendirian.
Dalam pada itu, ditanya sama ada polis ke sekolah dan menemu bual guru-guru mangsa bersabit kejadian itu, Mohd.Shuhaily berkata, pihaknya akan mengambil pendekatan tersebut sekiranya memerlukan siasatan lanjut.
Mohd Shuhaily berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sebanyak 15 buah basikal jenis 'Mountain Bike' daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Unit Polis Pelancong di ibu pejabat kontinjen polis (IPK), di George Town pada Selasa.
Penyerahan basikal bernilai kira-kira RM30,000 itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin.
Tragedi | Remaja perempuan 13 tahun ditemukan jatuh dari tingkat 11
Pada Isnin, seorang remaja perempuan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 11 kondominium di Persiaran Bayan Indah.
Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di bumbung parkir di kondominium berkenaan oleh ibunya pada jam 6.30 pagi sebelum menghubungi polis.

*Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.
Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.
Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.
Panggilan adalah percuma.
#remaja jatuh kondominium #Persiaran Bayan Indah #polis pulau pinang #tiada unsur jenayah
;