Kes rebut anak: Polis selesai rakam keterangan tujuh individu
Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 5, 2022 15:21 MYT
Oktober 5, 2022 15:21 MYT
KEPALA BATAS: Polis Pulau Pinang sudah merakam keterangan tujuh individu bagi membantu siasatan insiden perebutan anak yang tular di media sosial Khamis lepas.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, rakaman percakapan itu membabitkan dua buah keluarga terdiri daripada mangsa, iaitu kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, ibunya, bapa saudaranya, nenek (sebelah ibu) dan pemandu mereka.
Mohd Radzi berkata pihak polis turut mengambil keterangan datuk dan nenek mangsa (sebelah bapa) untuk tindakan selanjutnya.
"Kita sudah selesai merakam keterangan keluarga di kedua-dua belah pihak berhubung kes perebutan anak tersebut, dan kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi menyiasat kes berkenaan."
"Ketika ini mangsa (kanak-kanak) berada di Selangor bersama ibunya. Soal hak jagaan anak pula masih di peringkat perbicaraan di mahkamah," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes berkenaan, di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di Kepala Batas Pulau Pinang , hari ini.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dibawa lari ibunya di hadapan sebuah sekolah, menyebabkan ramai yang menyangka ia adalah kes culik.
Bagaimanapun,polis mengesahkan bahawa kejadian itu bukan kes culik sebaliknya berkaitan isu perebutan anak.
Insiden berkenaan tular, selepas seorang pemilik akaun Facebook (FB) memuat naik dua klip video masing-masing bedurasi satu minit 30 saat di media sosial berhubung insiden berkenaan.
Video pertama memaparkan seorang wanita tersembam di atas jalan ketika cuba berlari mendapatkan semula cucunya yang ketika itu ingin dibawa lari bekas menantunya dengan menaiki sebuah kereta berwarna hitam.
Sementara, video kedua memaparkan suami wanita itu turut pergi ke arah kereta terbabit untuk menghalang bekas menantunya membawa lari kanak-kanak berkenaan.