Kes rasuah zakat Pulau Pinang: SPRM sambung reman CEO ZPP

Astro Awani
Mei 15, 2017 18:35 MYT
Mahkamah Majistret menyambung reman dua pegawai kanan Zakat Pulau Pinang (ZPP) selama empat hari lagi sehingga Khamis bagi membantu siasatan penyelewengan wang zakat. - Foto Bernama
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang hari ini mendapatkan perintah menyambung reman selama empat hari terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan seorang pegawai kanannya bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang dana agensi berkenaan.
Tempoh tahanan reman ke atas lelaki berusia 50 dan 35 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid di Mahkamah Majistret George Town kira-kira jam 3.05 petang tadi.
Kedua-dua mereka tiba di pekarangan mahkamah diiringi pegawai SPRM kira-kira jam 2.15 petang tadi.
Terdahulu, di mahkamah sama, tiga kontraktor yang didakwa terlibat dalam kes itu dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM5,000 seorang.
Dua hari lepas, SPRM turut membebaskan lima kontraktor lain dengan jaminan RM5,000 setiap seorang manakala dua pegawai ZPP dengan jaminan RM10,000.
Pada 9 Mei lepas , seramai 12 individu termasuk CEO ZPP, tiga pegawai kanan agensi itu serta lapan kontraktor ditahan SPRM negeri itu bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang zakat untuk projek pembangunan masyarakat ZPP sejak tiga tahun lalu.
#agensi #CEO ZPP #George Town #Kes #makhamah #Rasuah #reman #SPRM
;