Kes rasuah VLN Zahid Hamidi: Penyokong mula berkumpul, laungan 'Hidup Presiden' bergema
Ridauddin Daud
September 23, 2022 08:18 MYT
September 23, 2022 08:18 MYT
SHAH ALAM: Puluhan penyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat mula berkumpul di hadapan bangunan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada pagi Jumaat.
Mereka dilihat tiba seawal jam 7.45 pagi sebelum dua buah bas, difahamkan dari Terengganu tiba kira-kira jam 8.15 pagi tadi.
Penyokong yang majoritinya memakai baju berwarna putih turut membawa sepanduk dengan tulisan "Solidariti 4 AZH" dan memegangnya sepanjang berada di pekarangan mahkamah.
Sejak dari tadi juga penyokong melaungkan "Hidup Presiden" dan beberapa kata semangat lain buat Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Anggota polis juga dilihat berkawal di hadapan bangunan mahkamah dan setakat ini, keadaan tenang tanpa ada sebarang provokasi daripada penyokong.
Keputusan sama ada Ahmad Zahid akan dibebaskan atau diperintah membela diri terhadap 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), akan diketahui pagi ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa dijadual menyampaikan keputusan di akhir kes pendakwaan itu pada 9 pagi.
Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie terhadap Ahmad Zahid, maka beliau akan dipanggil untuk membela diri manakala jika sebaliknya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan dilepas dan dibebaskan.
Pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B. Thavani manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.
Pada 11 Ogos, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 18 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 24 Mei 2021 dan pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 7 September lepas.