Kes rasuah solar: Raja Petra tiada kredibiliti, hanya tahu bersembunyi di UK - Gopal Sri Ram

Firdaus Azil
September 1, 2022 13:48 MYT
Gopal Sri Ram berkata, Raja Petra dikenali sebagai seorang pelarian, dan hanya menulis mengikut kemahuan pihak yang membayarnya. - fotoREUTERS
KUALA LUMPUR: Pengasas dan penulis portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin tidak seharusnya dianggap sebagai sumber yang berkredibiliti, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.
Ketua Pendakwaan dalam kes rasuah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, Raja Petra dikenali sebagai seorang pelarian, dan hanya menulis mengikut kemahuan pihak yang membayarnya.
Sri Ram berkata, permohonan pembelaan untuk mengecualikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan dari kes tersebut perlu ditolak, kerana ia hanya berdasarkan dokumen yang diterbitkan oleh Raja Petra, yang pada pandangan beliau hanya bersifat khabar angin, dan dibuat dengan niat jahat (mala fide).
“Saya berhujah bahawa penulis dua artikel tersebut adalah seorang pelarian dari keadilan, yang kini sedang bersembunyi di United Kingdom.
“Keduanya dia adalah wartawan yang sukar dikawal. Dan ketiga, pandangan dia sering kali berubah mengikut jumlah bayaran yang diterima,” kata Sri Ram.
BACA: Kes rasuah projek solar: Mahkamah dengar permohonan Rosmah kecualikan Hakim Zaini
Ketika ini Mohamed Zaini sedang mendengar permohonan pihak pembelaan, yang diketuai Datuk Akberdin Abdul Kadir dan Datuk Jagjit Singh untuk mengecualikan beliau dari kes tersebut.
Rosmah dalam kenyataan afidavit sokongan berkata, permohonan tersebut dilakukan selepas tular ringkasan penghakiman berhubung kes tersebut, yang didakwa sepatutnya dibacakan di Mahkamah Tinggi pada 1 Sept (hari ini).
Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata, beliau mendapati terdapat ketirisan atau kebocoran, selain mendapati penghakiman itu telah disediakan orang atau pihak lain, dan bukannya Mohamed Zaini sendiri.
Pandangan pendakwaan, bagaimanapun disanggah Jagjit, yang berhujah bahawa dalam setiap diri manusia yang jahat, pasti ada kebaikan, seperti mana yang dilakukan Raja Petra.
Beliau berkata, biar pun apa juga pandangan atau persepsi pendakwaan terhadap penulis itu, namun pendakwaan langsung tidak menyangkal bahawa dua dokumen – ringkasan serta penghakiman penuh kes Rosmah – adalah dokumen palsu.
Dlaam pada itu Jagjit berkata, kedua-dua dokumen tersebut merupakan draf penghakiman, yang dibuat oleh pihak luar, bertujuan untuk mempengaruhi penghakiman penuh Mohamed Zaini.
Beliau berkata, Mohamed Zaini selaku Hakim kes tersebut perlu segera mengecualikan diri, bagi menjaga integriti dan kebebasan badan kehakiman.
Namun Sri Ram berkata, dokumen tersebut lazimnya disediakan oleh unit penyelidikan badan kehakiman, dan ia merupakan amalan yang bukan digunapakai bukan sahaja di negara-negara Komanwel, tetapi juga di Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat.
Katanya lagi, terpulang kepada Hakim Bicara untuk menggunapakai draf atau pandangan tersebut, kerana ia bukan satu amalan yang luar biasa.
“Perkara penting di sini, secara objektifnya, bahawa tertuduh (Rosmah) telah menerima perbicaraan yang adil, dan penghakiman itu merupakan pandangan atau keputusan Hakim sendiri, bukan orang lain,” katanya lagi.
Rosmah ketika ini berhadapan dengan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta, serta dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta dari Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.
Dana itu didakwa diterima melalui bekas Pegawai Khas beliau, Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta
Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Media sebelum ini melaporkan keseluruhan projek tersebut bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
#Rosmah Mansor #Raja Petra Kamarudin #Gopal Sri Ram #Hakim Mohamed Zaini Mazlan
;