Kes rasuah RM3 juta: Nasib Isa Samad ditentukan pagi ini
Firdaus Azil
Februari 3, 2021 08:27 MYT
Februari 3, 2021 08:27 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad akan mengetahui nasibnya pagi ini berhubung sembilan pertuduhan menerima RM3 juta yang didakwa dilakukan tujuh tahun lepas.
Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dituduh menerima wang berkenaan berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Keputusan akan disampaikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada pukul 9.30 pagi ini.
Mohd Isa, 71, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip.
Ia sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.
Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Seramai 22 saksi telah dipanggil, termasuk bekas Ketua Pengarah Felda Datuk Hanapi Suhada, bekas Ketua Pegawai Eksekutif FICSB Mohd Zaid Abdul Jalil, Ikhwan dan Muhammad Zahid.
#Isa Samad
#Felda
#Rasuah
#SPRM
#Merdeka
#Rasuah Buster
#Merdeka Palace Hotel & Suites
#MPHS
#Zahid Md Arip
#GAPSB
#Ikhwan Zaidel