Kes rasuah RM2.3 bilion: Eksekutif GLC antara lapan direman
Astro Awani
April 8, 2022 15:59 MYT
April 8, 2022 15:59 MYT
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan projek milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bernilai lebih RM2.3 bilion.
Permohonan reman terhadap kesemua suspek berusia antara 35 hingga 45 tahun tersebut dbuat di dua mahkamah berasingan termasuk Mahkamah Majistret Putrajaya dan Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak.
Permohonan reman selama empat hari terhadap dua individu dan lima hari terhadap empat individu dibenarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim, Putrajaya.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kuching, permohonan reman selama lima hari dan dua hari terhadap dua individu dibenarkan oleh Majistret Zubaidah Sharkawi.
Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada jawatan ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai operasi, pegawai eksekutif, pengarah dan pemilik syarikat terbabit dipercayai terlibat dalam perlakuan rasuah dalam projek-projek milik sebuah GLC dengan anggaran nilai kontrak keseluruhan melebihi RM2.3 bilion antara tahun 2017 hingga 2021.
Katanya, kesemuanya ditahan di Ibu Pejabat SPRM dan SPRM Sarawak antara 1.30 petang semalam hingga 12.30 tengah malam tadi ketika hadir memberi keterangan.
"Susulan daripada penahanan tersebut, beberapa sitaan telah dilakukan antaranya melibatkan 10 buah kenderaan mewah pelbagai jenama, dan pelbagai mata wang tunai melebihi RM27,000.
"Selain itu, lebih 50 barang kemas pelbagai jenis termasuk gold bar, 15 jam tangan mewah pelbagai jenama, 13 beg tangan mewah pelbagai jenama serta membekukan 12 akaun syarikat dan individu," tambah sumber itu lagi.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.