Kes rasuah projek solar: Mahkamah dengar permohonan Rosmah kecualikan Hakim Zaini
Firdaus Azil
September 1, 2022 10:49 MYT
September 1, 2022 10:49 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan notis usul pasukan pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor, 70 tahun, untuk mengecualikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan dari perbicaraan tersebut.
Terdahulu, peguam bela Datuk Jagjit Singh memohon kepada mahkamah untuk memberikan tempoh masa bagi membolehkan pembelaan lebih bersedia dalam membentangkan hujah lisan mereka.
Namun, Mohamed Zaini berkata, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menangguhkan perbicaraan.
Tambahnya, Jagjit serta seorang lagi peguam bela, Datuk Akberdin Abdul Kadir sepatutnya sudah bersedia, memandangkan usul itu difailkan pada malam 30 Ogos.
“Jagjit, anda datang dari era di mana hujahan balas bertulis tidak diketahui, manakala rakan anda telah menghantar surat yang memerlukan perhatian segera, mengandungi 15 perkara mengapa prosiding ini tidak boleh diteruskan.
“Mengambil kira perkara itu, mengapa anda seperti tidak bersedia? Saya telah membaca afidavit anda dan saya tidak perlu menyanggah fakta yang anda sediakan.
"Tidakkah anda fikir fakta yang terkandung dalam permohonan anda sebenarnya sudah berada dalam pengetahuan saya, memandangkan ia berkait dengan penghakiman saya?" soal hakim kembali.
Pada 30 Ogos lepas, Rosmah melalui Tetuan Akberdin & Co memfailkan permohonan notis usul supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar atau membuat apa-apa keputusan berhubung kes projek solar melibatkan isteri bekas Perdana Menteri itu.
Dalam satu notis usul yang difailkan pada 30 Ogos, permohonan tersebut dilakukan selepas tular ringkasan penghakiman berhubung kes tersebut, yang didakwa sepatutnya dibacakan di Mahkamah Tinggi pada 1 Sept (hari ini).
Rosmah melalui afidavit susulan berkata, beliau mendapati terdapat ketirisan atau kebocoran, selain mendapati penghakiman itu telah disediakan orang atau pihak lain, dan bukannya Mohamed Zaini sendiri.
Sementara itu, pasukan pendakwaan yang diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram membantah permohonan itu atas alasan, dokumen yang bocor itu bukan satu penghakiman penuh.
“Permohonan itu dibuat berdasarkan khabar angin, keseluruhannya,” katanya lagi sambil menambah permohonan itu tidak disokong oleh bukti yang kukuh.
Hakim kemudian mengarahkan pembelaan untuk membentangkan hujahan lisan hari ini juga, walaupun diminta tempoh masa oleh Jagjit.
Jagjit berkata, beliau memerlukan tempoh masa tersebut bagi memahami segala hujah balas bertulis yang disediakan oleh pendakwaan.
Namun, bagi Mohamed Zaini, tempoh 30 minit sudah memadai untuk Jagjit menyediakan hujah lisan.