Kes rasuah pegawai Imigresen: Biar SPRM siasat dahulu - Mustafar

Dewi Nur Harasha Alias
November 27, 2018 06:00 MYT
Suspek diiringi pegawai SPRM di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Isnin. - Foto SPRM
Jabatan Imigresen Malaysia menyerahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan ke atas lima individu termasuk seorang pegawai kanan Imigresen Johor berpangkat Datuk yang dipercayai terlibat dalam kes rasuah.
Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihak Imigresen sentiasa mengamalkan pemantapan perakuan integriti yang menekankan integriti dalam kalangan pegawai dan anggota.
Katanya, pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak SPRM untuk menjalankan siasatan dan berharap lebih ramai mereka yang terlibat dapat diambil tindakan selepas ini.
"Kita sentiasa melakukan pemantapan integriti. Bagaimanapun, kes masih dalam siasatan dan tidak boleh diulas secara terperinci. Kita beri kerjasama sebaiknya kepada SPRM.
"Kita rasa ada isu pas lawatan telah disalahgunakan, ada sindiket, ada dalang namun sejauh mana penglibatan (pegawai Imigresen) bersangkutan siasatan SPRM," katanya selepas majlis perhimpunan bulanan Jabatan Imigresen Pulau Pinang di sini, pada Selasa.
BACA: Pegawai kanan Imigresen berpangkat Datuk antara 5 ditahan SPRM
Pada Isnin, media melaporkan SPRM menahan reman lima individu termasuk seorang pegawai kanan Imigresen berpangkat Datuk selepas dipercayai menerima rasuah.
Empat lagi individu yang ditahan merupakan tiga pegawai dari jabatan sama dan seorang ahli perniagaan.
#Imigresen #Johor #Mustafar Ali #Rasuah #SPRM
;