Kes rasuah meningkat, SPRM Sarawak lakukan 73 tangkapan tahun ini

Bernama
November 6, 2016 23:31 MYT
23 daripada mereka yang ditangkap tahun ini adalah kalangan penjawat awam yang terdiri daripada empat individu kumpulan Pengurusan dan Profesional dan 19 orang daripada kumpulan sokongan. - Gambar fail
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak melakukan 73 tangkapan sejak awal tahun sehingga kini selain mengemukakan 42 pertuduhan di mahkamah selepas membuka 79 kertas siasatan berkaitan rasuah.
Pengarahnya Datuk Badrul Shah Norman berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 59 tangkapan pada 2014 dan 67 tangkapan pada tahun lepas.
Beliau berkata 23 daripada mereka yang ditangkap tahun ini adalah kalangan penjawat awam yang terdiri daripada empat individu kumpulan Pengurusan dan Profesional dan 19 orang daripada kumpulan sokongan.
Berucap pada Program Integriti bersama Ketua-ketua Jabatan dan Media di Dewan Sri Bunga Rampai di sini, malam Ahad, beliau berkata selebihnya terdiri daripada kakitangan bahagian penguatkuasaan, pegawai syarikat swasta dan orang awam.
Daripada 300 aduan yang diterima dari awal tahun hingga semalam, SPRM Sarawak membuka 79 kertas siasatan, dan sebanyak 73 kertas siasatan dibuka daripada 234 aduan yang diterima dan 72 pertuduhan dilakukan pada 2014.
"Sepanjang tahun lepas, jumlah aduan yang diterima meningkat berbanding tahun sebelumnya kepada 396 dan daripada jumlah itu, 85 kertas siasatan dibuka, 67 tangkapan dilakukan dan 35 pertuduhan dibuat," katanya. - Bernama
#kes rasuah #penjawat awam #program integriti #Sarawak #SPRM