Kes rasuah Bung Moktar: Pendakwa mahu soal saksi belot

Sinar Harian
Februari 14, 2022 17:13 MYT
Bung Moktar dan isteri, Zizie Ezette ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memohon untuk menyoal balas seorang saksi utamanya yang dianggap sebagai saksi belot dalam perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.
Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How berkata, permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan 1950, bagi menyoal balas sendiri perunding unit amanah yang merupakan saksi pendakwaan ke-25, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45.
Chin How memaklumkan pihaknya telah menyerahkan rakaman percakapan saksi itu kepada pihak pembelaan.
Peguam Ridha Abdah Subri mewakili Bung Moktar mengesahkan menerima rakaman tersebut pada 11 Februari lepas, manakala peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette juga memaklumkan perkara sama.
Bagaimanapun, pihak pembelaan membantah permohonan tersebut atas alasan ia tidak dibuat mengikut prosedur yang betul.
Hakim Rozina menetapkan 24 Februari ini untuk mendengar permohonan tersebut, dan menasihatkan Norhaili agar tidak berkomunikasi atau berbincang dengan mana-mana pihak termasuk pasukan pembelaan, tertuduh dan pegawai penyiasat.
Norhaili semasa pemeriksaan utama oleh pendakwaan sebelum ini mengekalkan keterangannya pada 27 Januari lepas bahawa Zizie Izette layak menerima wang pengenalan RM2.8 juta, memandangkan pelakon itu memperkenalkan suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
#Bung Moktar Radin #Zizie Izette Abdul Samad #kes rasuah #pecah amanah Public Mutual Berhad
;