Kes pukul pelajar di Langkawi: 13 pelajar tingkatan empat ditahan
Adie Sufian Zulkefli
April 28, 2022 17:38 MYT
April 28, 2022 17:38 MYT
ALOR SETAR: Polis menahan seramai 13 pelajar tingkatan empat untuk membantu siasatan susulan kes membelasah seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Langkawi, pada Rabu.
Ketua Polis Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kesemua pelajar terbabit ditahan bermula jam 12.30 tengah hari sehingga 3 petang hari ini di rumah masing-masing.
Katanya, polis dalam proses merakam percakapan kesemua pelajar terbabit.
"Daripada jumlah kesemua pelajar yang ditahan, lima daripada mereka merupakan rakan sekelas kepada mangsa manakala baki yang lain dari kelas berasingan. Rakaman percakapan sedang diambil bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Kejadian itu sebelum ini tersebar menerusi satu video tular memaparkan seorang pelajar lelaki dibelasah hampir 10 orang pelajar lain.
Video yang berdurasi 25 saat itu menunjukkan pelajar yang dibuli tersebut menyatakan sesuatu sebelum dipukul oleh pelajar-pelajar lain dalam sebuah kelas.
Rakaman video tersebut juga menunjukkan pelajar tersebut dibaling dengan meja tulis di kepalanya.
Susulan itu laporan polis dibuat mangsa berusia 16 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi mendakwa dia adalah mangsa buli terbabit.
Hasil keterangan daripada mangsa kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi pada 27 April 2022 (Rabu) di dalam sebuah kelas.
Pergaduhan dikatakan berpunca dari insiden ejek-mengejek oleh pelajar terbabit.