Kes pukul: Dia rakyat beta, beri keadilan sekarang - Tengku Hassanal

Hasimi Muhamad
Oktober 18, 2024 22:11 MYT
Tengku Hassanal menitahkan agar memberikan keadilan sekarang kepada mangsa, yang didakwa dipukul oleh seorang kerabat Diraja Pahang dan sekumpulan individu - Gambar Instagram Story Tengku Hassanal
KUALA LUMPUR: Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar keadilan diberikan segera kepada seorang pekerja pembinaan yang didakwa diserang kerabat Diraja Pahang bersama sekumpulan individu pada bulan lalu.
Tengku Mahkota Pahang dalam kemas kini di Instagram Story hari ini menambah, keadilan bukan sahaja perlu perlu dilaksanakan, tetapi ia juga mesti dilihat dilaksanakan.
"Dia (mangsa) ialah rakyat beta. Berikan dia keadilan sekarang," tulis Tengku Hassanal dalam kemas kini tersebut.
Tengku Hassanal bertitah, mereka yang memperjuangkan keadilan akan sentiasa menghadapi tentangan daripada pihak yang melakukan ketidakadilan.
"Akhirnya, mereka yang berdiri di pihak kebenaran akan sentiasa menang, manakala mereka yang berada di pihak yang salah akan jatuh," titah baginda.
Sebelum ini, Tengku Hassanal menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak agar keadilan dapat ditegakkan.
Ia susulan laporan media bahawa seorang pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan, mendakwa cedera selepas diserang seorang kerabat diraja dan beberapa individu menggunakan senjata tajam dan pistol.
Pada Khamis, sebuah portal melaporkan, mangsa yang dikenali sebagai Alias Awang, 44 tahun, kecewa kerana belum ada tindakan daripada pihak berkuasa berhubung insiden berkenaan.
#PDRM #Instagram #kebenaran #senjata tajam
;