Kes pukul anak di Sweden: Ammar mulakan rindu ibu bapanya

Zan Azlee
Februari 20, 2014 07:38 MYT
Hari ketiga perbicaraan kes pasangan Malaysia, Azizul Raheem Awaluddin dan isterinya Shalwati Nurshal yang didakwa memukul anak-anak mereka menyaksikan anak mereka Ammar menunjukkan kegelisahannya.
Ammar yang berusia 12 tahun kerap bertanyakan kepada pegawai penyiasat sebelum ditemubual oleh mereka akan bilakah ibu bapanya akan dibebaskan.
“Sudah terlalu lama. Empat minggu sudah berlalu dan agak janggal untuk tidak melihat mereka untuk suatu jangka waktu yang panjang. Saya sangat berharap agar ibu bapa saya berada di rumah bersama-sama saya dan segalanya akan bahagia apabila kita bersama,” katanya melalui video yang dipaparkan oleh pendakwaraya, Anna Arnell.
Pada waktu itu, ibu Ammar, Shalwati yang duduk bersebelahan peguam mereka, Kristofer Stahre menitiskan air matanya dan mengesatnya dengan tisu.
Azizul yang duduk bersebelahan dengan seorang lagi peguam bela mereka, Jonas Tamm pula hanya tunduk memandang ke bawah sambil tangannya mencatatkan sesuatu pada buku nota kecilnya.
Keseluruhan kandungan video tersebut adalah penerangan semula oleh Ammar terhadap soal-jawab yang dikemukakan oleh pendakwaraya yang telah dipaparkan pada perbicaraan semalam.
Malah, Ammar mengesahkan semula bahawa kesemua insiden yang dipercayai pemukulan oleh ibu dan bapanya itu yang berlaku itu kepada pegawai penyiasat.
Menurutnya, ibunya dipercayai telah memukulnya sebanyak 1,000 kali pada 2013 manakala bapanya pula telah memukulnya sebanyak 100 kali.
“Perkara yang terjadi itu sudah terlalu kerap malah saya sudah tidak hiraukan lagi untuk melihat sama ada badan saya ini mempunyai kesan pukulan dari mereka atau tidak,” katanya.
Dia menceritakan kepada mahkamah dimana terdapat satu insiden dimana ketika itu mereka sedang menuju ke Jerman untuk cuti musim panas.
Ketika itu, mereka masih lagi berada di Sweden dimana mereka terpaksa untuk berhenti sebentar untuk menjamu selera.
Dia sedang bermain-main dengan rakannya ketika ibunya memanggilnya untuk masuk ke dalam rumah.
Ibunya kemudian telah memukulnya kerana didakwa ‘berlagak’ kepada kawan-kawannya.
Ammar menjelaskan tiada seorang pun rakannya yang menyaksikan apa yang telah berlaku.
Azizul dan Shalwati telah ditahan sejak Disember tahun lalu kerana dipercayai mendera keempat-empat anak mereka yang kini berada dalam jagaan ibu saudara di Kelantan.
Kesemua mereka dibawa pulang dari Sweden oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, pada awal bulan ini.
Anak sulung pasangan tersebut, Aishah, 14, dan Ammar kini bersekolah di SMK Padang Kala sementara Adam, 11 dan Arif pula menuntut di SK Padang Kala, Kota Bharu.
Perbicaraan tersebut dijangka akan memakan masa sehingga 10 hari di Mahkamah Daerah Solna di Stockholm.
Sekiranya didapati bersalah Shalwati dan Azizul dijangka akan merayu keputusan.
##SwedenLetThemGo #Azizul Raheem Awaluddin #pasangan sweden #Shalwati Norshal
;