Kes PPR Seri Pantai: Polis masih teruskan siasatan

Bernama
Mac 4, 2018 19:50 MYT
Beberapa penduduk PPR Seri Pantai melihat kawasan kejadian pada 16 Jan 2018, sehari selepas S. Sathiwaran maut ditimpa sebuah kerusi pejabat yang dicampak dari tingkat atas pangsapuri itu. - BERNAMA
Polis masih meneruskan siasatan kes seorang remaja lelaki maut dihempap kerusi pejabat yang dicampak dari tingkat atas pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam, di sini pada 15 Jan lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa berkata setakat ini tiada penahanan suspek lain mahupun saksi baru dipanggil berhubung kes berkenaan.
"Polis akan mengambil keterangan sekiranya terdapat saksi baru berhubung kejadian, namun setakat ini tiada petunjuk baru. Kami akan memastikan keadilan buat keluarga mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 8.10 malam itu, mangsa S. Sathiswaran, 15, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sebelum ini, polis dilaporkan memanggil 43 orang bagi membantu siasatan dan analisis tekanan suara (VSA) terhadap lima individu yang disenarai pendek mendapati hasilnya negatif.
#Pantai Dalam #PPR Seri Pantai #remaja maut
;