Kes positif COVID-19 libatkan petugas media, pegawai Senator - Ketua Pentadbir Parlimen

Bernama
November 3, 2020 05:48 MYT
Ujian saringan yang dijalankan sebelum Dewan Rakyat bersidang melibatkan semua pegawai, kakitangan Parlimen termasuk polis bantuan, media rasmi dan Ahli Parlimen. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Terdapat dua kes positif COVID-19 yang dikesan hasil ujian saringan yang dijalankan di Parlimen pada Rabu dan Jumaat lepas, kata Ketua Pentadbir Parlimen, Datuk Kamis Samin.
Beliau berkata, dua kes positif itu melibatkan seorang petugas media dan seorang pegawai kepada ahli Dewan Negara.
"Kedua-dua kes yang positif itu telah pun diambil tindakan lanjut oleh Kementerian Kesihatan sejurus selepas keputusan ujian saringan diperolehi," katanya dalam satu kenyataan hari ini, merujuk kepada beberapa laporan media semalam berhubung isu individu yang bertugas di Parlimen positif COVID-19.
BACA: Susulan adik positif COVID-19, Ras Adiba berdebar tunggu keputusan ujian saringan
Ujian saringan yang dijalankan sebelum Dewan Rakyat bersidang itu melibatkan semua pegawai, kakitangan Parlimen termasuk polis bantuan, media rasmi dan Ahli Parlimen.
Bagaimanapun, beliau berkata, menerusi ujian yang dijalankan Kementerian Kesihatan itu, semua kakitangan Parlimen adalah negatif dan bebas daripada jangkitan COVID-19.
Beliau berkata, pihak Parlimen telah menjalankan pelbagai usaha serta persediaan sewajarnya bagi mengekang penularan wabak COVID-19 untuk memastikan kelancaran persidangan dan pembentangan Belanjawan 2021 yang akan diadakan Jumaat ini. - BERNAMA
#Parlimen #petugas media #pegawai khas Senator #positif COVID19 #COVID19 #Ketua Pentadbir Parlimen #Kamis Samin #Dewan Rakyat #Dewan Negara