Kes polis larikan orang: Pegawai, anggota belum digantung tugas
Sinar Harian
Oktober 2, 2023 13:12 MYT
Oktober 2, 2023 13:12 MYT
KUALA LUMPUR: Motif lima anggota polis yang ditahan berhubung dakwaan melarikan seorang lelaki dalam kejadian di sebuah kedai di Desa Petaling, di sini, Selasa lalu, disyaki kurang integriti dan ada kepentingan diri.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya telah selesai menjalankan siasatan berkaitan kes itu.
"Memandangkan kes melibatkan anggota dan pegawai polis, kertas siasatan akan diserahkan kepada Bukit Aman, sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam minggu ini," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program 'Back to School' di Victoria Institution, di sini, pada Isnin.
Allaudeen berkata, setakat ini, pihaknya belum menggantung tugas kesemua anggota polis itu.
"Kita akan menggantung tugas anggota polis itu, selepas mereka dituduh di mahkamah," katanya.
Pada Jumaat lalu, media melaporkan enam lelaki termasuk lima anggota polis ditahan berhubung dakwaan melarikan seorang penganggur.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin dilaporkan berkata, polis menerima laporan daripada mangsa berusia 26 tahun pada 5.48 petang pada hari kejadian.
Mereka berusia antara 27 hingga 42 tahun ditahan dengan lima daripadanya adalah anggota dan pegawai di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
Kes disiasat mengikut Seksyen 365/ 342/ 323 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian