Kes pindaan laporan audit 1MDB: Arul Kanda tiba di mahkamah

Hilmi Malik, Fareez Azman
Disember 12, 2018 00:30 MYT
Arul Kanda tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy tiba di Kompleks Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 8.05 pagi ini.
Beliau diringi beberapa orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menaiki kenderaan jenis Honda Odyssey dengan nombor pendaftaran VM 4011.
Kehadiran beliau di mahkamah adalah berhubung dakwaan berlaku pindaan dalam Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang dibentangkan di Parlimen pada 2016.
Turut dijangka hadir di mahkamah sama hari ini dan bakal didakwa atas pertuduhan sama ialah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

#1MDB #Pendakwaan #AwaniNews Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib dan Bekas Ceo 1MDB Arul Kanda dijangka tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 8.30 pagi ini. Kedua dua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. @501Awani pic.twitter.com/68sojHqIGb

— Fareez Azman (@Fareez_Awani) December 12, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pada Selasa, Arul ditahan SPRM kira-kira jam 10.35 pagi dan tidak dibenarkan ikat jamin.
Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata, sebahagian audit akhir 1MDB telah diubah dan dibuang beberapa perkara.
Menurutnya, perkara penting yang tidak dimasukkan dalam laporan itu termasuk mengenai kehadiran ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low, dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dan berkenaan status kewangan 1MDB.
BACA: Madinah pertahan dakwaan laporan audit 1MDB diubah
Kedua-dua Arul dan Najib dijangka didakwa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Walaupun bakal menghadapi pertuduhan bersama, pertuduhan akan dilakukan di mahkamah berasingan, iaitu Arul di Mahkamah Sesyen 8 manakala Najib di Mahkamah Sesyen 9.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Arul Kanda Kandasamy #mahkamah #Najib Razak